Partime Job

Wednesday 28 March 2012

Sembilan murid keracunan makanan

JOHOR BAHRU –Seramai sembilan murid dari Sekolah Kebangsaan Larkin 1, di sini, mengalami keracunan makanan setelah makan makanan yang dijual di kantin sekolah berkenaan pada waktu rehat, kelmarin.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd Nor A Ghani mengesahkan kejadian itu dan memberitahu, tiga murid perempuan dan enam murid lelaki daripada Tahun Lima dan Enam dikejarkan ke Klinik Kesihatan Larkin, dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

“Kebanyakan daripada mereka mengadu sakit perut, muntah serta cirit birit selepas makan pada waktu rehat di kantin berkenaan.

“Sejurus insiden berkenaan, hari ini (semalam) kami di pihak jabatan bersama Pejabat Kesihatan Larkin telah membuat pemeriksaan ke atas premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kantin berkenaan kurang bersih dan diarahkan membersihkan kawasan kantin itu. Kantin berkenaan juga diarahkan tutup sementara sehingga esok (hari ini),” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, salah seorang ibu bapa murid berkenaan, Asmani Omar, 34, berkata, dia agak terkilan apabila tidak dimaklumkan tentang keracunan yang menimpa anaknya.

“Dia mengadu sakit perut. Bimbang dengan kesihatannya lebih teruk, kami membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Doktor mengesahkan anak kami mengalami keracunan makanan dan memberikan ubat. Alhamdulillah selepas makan ubat, dia dapat tidur dan datang sekolah hari ini (semalam).," katanya.

sumber : sinarharian

No comments: