Partime Job

Wednesday 28 March 2012

Perkenal keluarga Sakinah

JOHOR BAHRU – Mengikut kajian yang dijalankan, penyebab utama berlakunya perceraian di negeri ini adalah disebabkan oleh kedudukan sosioekonomi sesebuah keluarga, selain kurangnya ilmu pengetahuan.

Pengerusi Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keba­jikan Masyarakat dan Kesi­hatan negeri, Dr Robia Kosai berkata, Kerajaan Negeri menerusi idea Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman memperkenalkan medium keluarga Sakinah dalam menyampaikan ilmu keibubapaan mengikut acuan dan panduan berlandaskan ajaran Islam iaitu menerusi Al-Quran dan Sunnah.

“Kita seharusnya berasa bangga dengan modul ini kerana menjadi satu-satunya modul keibubapaan dalam versi Islam yang lengkap dan pernah diperkenalkan oleh sebuah Kerajaan Negeri.

“Malah lebih membangga­kan apabila modul ini turut dijadikan bahan rujukan oleh banyak agensi dan jabatan luar seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan program di jabatan masing-masing,” katanya semasa merasmikan Seminar Kaunseling Keluarga Negeri Johor 2012, di sini, semalam.

Program anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim bersama Persatuan Kaunseling Malaysia yang diadakan selama sehari turut menyediakan pelbagai ceramah berkaitan termasuklah peranan kaunseling keluarga dalam menangani konflik rumah tangga dan lain-lain.

Robia berkata, sekiranya modul itu disampaikan dengan baik dan berkesan, ia boleh menjadi alat terbaik dalam usaha melahirkan sebuah keluarga bahagia dan masyarakat yang sejahtera.

“Apabila menyentuh isu kekeluargaan kita tidak dapat lari daripada memperkatakan serta membincangkan isu-isu berkaitan tentang perceraian, keganasan rumah tangga, keruntuhan moral remaja dan sebagainya,” katanya,

sumber : sinarharian

No comments: