Sunday, 11 March 2012
Sejarah : Wira pertempuran Bukit Candu, Singgapura masih hidup
KUALA LUMPUR - Satu-satunya wira pertempuran Bukit Candu, Singapura iaitu Prebet Ujang Mormin masih lagi hidup dalam usia 91 tahun dan tinggal sebatang kara di Sikamat, Seremban.
Isterinya telah meninggal dunia dua tahun lepas, dua orang anak beliau juga telah meninggal dunia dan seorang lagi gagal dikesan.
"Saya kini menyara hidup dengan menggunakan wang pencen berjumlah RM200 yang diperoleh selepas menamatkan perkhidmatan di Jabatan Penjara," katanya kepada pemberita selepas menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) daripada Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Kem Sungai Besi di sini, hari ini.
Beliau berkhidmat hanya selama tujuh tahun sebagai tentera tetapi berkesempatan untuk bertempur di Bukit Candu yang menyaksikan pahlawan negara, Leftenan Adnan Saidi gugur di medan pertempuran itu.
Beliau bagaimanapun tidak melihat kematian Adnan kerana pasukan beliau sudah berundur ke kubu pertahanan yang lain.
Semasa pertempuran yang berlaku pada Februari 1942 itu, beliau telah menyaksikan seorang rakannya mati serta-merta akibat terkena serpihan bom berikutan serangan tentera Jepun.
"Pada ketika itu, saya sedang berjalan bersama arwah, tetapi ajaibnya saya tidak terkena serpihan sedangkan bom yang meletup dekat," katanya.
"Bagaimanapun, sekuat mana dan sekental mana hati dan perasaan saya ini, tetapi apabila melihat rakan seperjuangan dibom dan meninggal di tempat kejadian amat sayu dan cukup pilu bagi saya dan dengan serta-merta saya menggali lubang untuk semadikannya di situ," kata bekas tentera itu sambil air matanya mengalir.
Peperangan di Singapura turut mencacatkan jari kelingking kiri Ujang apabila dalam satu pertempuran, peluru Jepun menembusi laras raifelnya lalu menghancurkan hujung jarinya.
Tugas beliau dalam mempertahankan Singapura berakhir apabila beliau diarahkan pulang ke kampung oleh ketuanya tetapi Ujang menyembunyikan diri di satu kawasan hutan di pulau itu sebelum diambil oleh satu keluarga angkat dan beliau tinggal bersama mereka selama dua bulan.
Beliau kemudian menaiki keretapi untuk balik ke kampung di Rembau, Negeri Sembilan selepas Jepun menawan Singapura sepenuhnya.
"Tidur di dalam hutan, di dalam lubang tanah dan ada kalanya tidak dapat makan dan minum menjadi perkara biasa dan seperti telah sebati dengan saya dan rakan-rakan yang lain ketika itu," katanya.
Beliau juga pernah berjalan kaki selama 30 hari dari satu lokasi di Tanah Melayu untuk membuat pertahanan terakhir di Singapura.
"Kadang-kadang naik juga trak tentera tetapi kalau naik trak tentera musuh senang kenal pasti terutamanya apabila melalui jalan-jalan utama," katanya.
Selain menerima PJM, Ujang yang merupakan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1941-1947) mendapat penghormatan besar daripada Empayar British apabila dikurniakan War Medal dan Pasific Star Medal. - Bernama
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment