KUALA LUMPUR - Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa berlaku penyelewengan dalam urusan pembekalan kelengkapan sekolah kepada anak peneroka Felda yang dibuat secara runding terus.
Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, bekalan pakej kelengkapan itu membabitkan keperluan 15,000 murid tahun satu sesi persekolahan 2012.
“Pakej itu membabitkan bantuan kelengkapan dengan nilai RM185 bagi setiap murid. Bantuan tersebut terdiri daripada dua pasang pakaian seragam sekolah, beg sekolah dan sepasang kasut bagi setiap pelajar.
“Nilai keseluruhan sebanyak RM2.7 juta. Kita dapat maklumat ia diberi secara runding terus tanpa ditender, kenapa runding terus, itu yang kita persoalkan,” katanya pada sidang media hari ini.
Mazlan turut mempersoalkan bagaimana pemilihan pelajar yang layak menerima bantuan itu dibuat di peringkat tanah-tanah rancangan.
“Kita telah buat tinjauan, banyak Felda tidak mengagihkan kelengkapan ini. Kita kira-kira sekurangnya mereka boleh buat untung RM1 juta untuk projek ini.
“Kita tuntut Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad serta Pengerusi Yayasan Felda membuat penjelasan mengenai perkara ini,” katanya.
Mazlan mendakwa pihaknya juga mempunyai banyak bukti berhubung pelbagai penyelewengan terhadap Felda dan akan melakukan pendedahan itu satu persatu sehingga pilihan raya akan datang.
Pada sidang media sama, Mazlan turut memaklumkan pihaknya akan mengadakan konvensyen kebangsaan membincangkan masa depan dan hala tuju Felda.
Menurutnya, konvensyen itu akan diadakan pada 22 April ini dan bakal menampilkan tokoh-tokoh berkaitan Felda bagi berkongsi pandangan.
sumber : sinarharian

No comments:
Post a Comment