Partime Job

Thursday, 15 March 2012

‘Rela’ rompak pekerja ladang


AYER KEROH - Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan enam sebatan terhadap dua sekawan kerana merompak secara berkumpulan seorang pekerja ladang warga Indonesia, bulan lalu.

Ab Rahman Mohd Ali, 46, dan Mohd Iszam Mohd Ghazalli, 31, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Abu Bakar Katar selepas kedua-duanya menukar pengakuan kepada bersalah pada hari sebutan semula kes, semalam.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap Sutarji, pasport AN 343518, dan merampas wang tunai RM1,700 di ladang getah Kampung Seberang Perai, Rembai, Alor Gajah, kira-kira jam 11 pagi pada 25 Januari 2012.

Mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Kesek­saan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Kedua-dua tertuduh memohon hukuman diringankan dan dipenjara daripada tarikh ditangkap sebelum Timbalan Pendakwa Raya, Kee Wei Lon meminta mahkamah memberikan huku­man berat terhadap tertuduh yang mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, mangsa ketika sedang bekerja di ladang getah didatangi kedua-dua tertuduh yang menyamar sebagai anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) lalu meminta mangsa supaya menunjukkan pasport.

Ketika mengeluarkan pasport, seorang tertuduh meragut wang berjumlah RM1,700 daripada dompet mangsa dan terus melarikan diri menaiki motosikal sebelum mangsa menjerit meminta tolong.

Beberapa rakan mangsa berjaya menangkap Ab Rahman dan diserahkan kepada polis, sementara Mohd Iszam ditahan polis di sebuah rumah di Taman Seri Bayu, Alor Gajah pada 30 Januari 2012.

sumber : sinarharian

No comments: