Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Rampas 3,000 liter diesel


PARIT BUNTAR – Penyelewengan minyak diesel sebanyak 3,000 liter dengan nilai rampasan RM74,050 berjaya dirampas dalam satu operasi yang diadakan di daerah ini, di sini, semalam.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Parit Buntar, Abd Rahman Yang Mohd Yusof berkata, pihaknya bertindak hasil maklumat dan risikan selama semingg berhubung penyelewengan minyak menggunakan lori yang telah diubahsuai.

Menurutnya, lori itu boleh memuatkan sehingga 8,000 liter minyak diesel dalam satu-satu masa.

“Pemandu-pemandu lori ini akan mengisi minyak melalui tangki lori yang diubahsuai dan terus disalurkan ke dalam tangki simpanan tambahan. Bagi mengelakkan diri dicekup, pemandu lori akan mengisi minyak dari satu stesen ke stesen lain untuk memenuhkan tangki sedia ada,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabatnya di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Abd Rahman berkata, pihaknya menahan seorang lelaki yang bertanggungjawab di salah sebuah stesen minyak di sekitar daerah Kerian bagi membantu siasatan.

“Lori dan keseluruhan minyak di dalam tangki lori turut disita,” katanya.

Menurutnya, serbuan terdahulu dengan modus operandi sama telah menahan sebuah lori dengan muatan 2,000 liter dengan nilai rampasan RM12,600.

Beliau berkata, kedua-dua kes tersebut telah diambil tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan.

“Sabit kesalahan mereka boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara bagi kesalahan pertama,” katanya.

Katanya, pihaknya juga telah membuat dua laporan polis berhubung sitaan tersebut.

“PPDNKK Parit Buntar akan terus mempergiatkan tindakan membanteras penyelewengan diesel subsidi ini sehingga ke akar umbi,” katanya.

sumber : sinarharianb

No comments: