Partime Job

Thursday, 15 March 2012

R&R hubung PLUS, RTC Gopeng dibina

GOPENG: Sebuah hentian rehat (R&R) sedang dibina bagi menghubungkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dengan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini.

Ia bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai khususnya pengguna lebuh raya berkenaan untuk berhenti rehat dan bersantai, selain membolehkan mereka mengunjungi pusat komersial yang baru diwujudkan itu.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Basri Jasmo, berkata R&R itu dibina di kawasan seluas 3.2 hektar iaitu kira-kira 500 meter dari RTC dan bersebelahan PLUS yang dianggap lokasi strategik untuk memudahkan pengguna singgah di situ.
Katanya, R&R itu akan dilengkapi kemudahan asas seperti tandas, stesen minyak dan tempat letak kereta yang luas, selain kemudahan laluan pejalan kaki berdekatan tempat letak kereta.

Beliau berkata, projek berkenaan yang dilaksanakan secara usaha sama FAMA dengan PLUS Malaysia Sdn Bhd sudah dimulakan sejak awal bulan ini.

“Kami berharap hentian itu akan dapat dibuka kepada orang ramai pada Ogos depan,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, pembinaan R&R itu adalah satu daripada inisiatif untuk menarik dan menambah bilangan pengunjung ke RTC, selain mengadakan pelbagai aktiviti atau program di pusat komersial berkenaan.
Inisiatif RTC ditubuhkan di bawah Teras Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 yang bermatlamat menjadi penghubung masyarakat luar bandar dengan aktiviti yang mempunyai nilai tambah tinggi bagi mewujudkan impak ekonomi dan pendapatan berganda.

Penduduk berada sekitar 100 kilometer persegi dari pusat berkenaan terutama sekitar Gopeng, Kampar dan Cameron Highlands mendapat manfaat sepenuhnya selain memacu pendapatan penduduk sekitar.

Basri berkata, sejak pelancaran RTC oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada bulan lalu, kedatangan pelawat ke RTC Gopeng semakin memberangsangkan dan menunjukkan petanda positif terhadap penerimaan masyarakat.

“Inisiatif mewujudkan pejabat merangkumi jabatan penting seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Pendaftaran Negara dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Persekutuan juga antara faktor menarik kedatangan pengunjung ke pusat komersial itu,” katanya.

sumber : bharian

No comments: