KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran tidak menghadapi masalah kekurangan guru di Sekolah Kebangsaan (SK) buat masa ini, kecuali bagi subjek tertentu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT).
Timbalan Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin berkata, antara punca masalah itu di SJKC adalah kekurangan guru yang berkelayakan dalam bahasa Mandarin bagi mengajar.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata bagi menangani masalah itu, KPM melaksanakan beberapa langkah termasuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Kekurangan Guru di SJKC yang kini sudah dua kali bermesyuarat.
“Mereka juga akan mencadangkan penempatan semula guru Bahasa Malaysia dari SK ke SJKC Gred A dan B saja bagi mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia di Tahun Tiga hingga Enam.
“Kementerian juga mencadangkan supaya guru opsyen Pengajian Cina di SJKC yang sudah mengajar mata pelajaran lain lebih daripada lima tahun diberikan latihan tambah opsyen melalui Program Intervensi Tambah Opsyen (PITO).
“Selain itu, kementerian meluluskan 4,407 jawatan di sekolah menengah untuk diisi secara sementara oleh calon guru yang mempunyai kelayakan iktisas pendidikan, namun belum dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sebagai guru interim sehingga 15 April 2012 dan melulus 1,848 jawatan di SJKC dan 128 di SJKT untuk diisi secara sementara oleh guru interim sehingga bekalan guru tetap dibekalkan SPP,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam).
Chong Eng bertanya punca masalah kekurangan guru dan langkah penyelesaian yang diambil kerajaan serta jumlah gaji harian yang diberikan kepada guru sementara yang berkelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan guru sementara berkelayakan SPM.
Muhyiddin berkata, kerajaan tidak pernah melantik guru sementara dengan kelayakan UEC, sementara kadar upah pekerja sambilan harian termasuk guru ganti lulusan SPM adalah RM54 dan guru interim menerima gaji seperti kelayakan Guru Sandaran Tidak Telatih (GSTT) sebelum ini.
sumber : bharian

No comments:
Post a Comment