SIBU: “Kami bukan saja mahu pembeli membawa balik ayam yang betul-betul segar, tetapi juga mahu pastikan ayam itu sentiasa bersih, sebab itu kami bungkus ayam ini dengan kertas surat khabar,” kata Wong Chong Nyien, salah seorang penjual ayam hidup di Pasar Sentral Sibu.
Mungkin ada pengunjung yang pertama kali singgah ke bandar ini, menganggap tindakan peniaga membungkus ayam hidup itu sesuatu yang luar biasa dan menarik perhatian.
Namun, itulah cara peniaga ayam di bandar ini sejak dulu, kerana dengan membungkus ayam jualan mereka, kebersihan sekitar mereka berniaga akan lebih terjamin.
“Bukan saja ayam itu bersih malah persekitaran tempat kami berniaga juga bebas tahi ayam. Kalau kita membiarkan ayam tanpa membungkusnya, pasti banyak tahi ayam di sekeliling kita.
“Kertas surat khabar ini juga seperti lampin. Kami biasanya menukar kertas itu dua tiga kali sehari untuk membuang tahi dan ia berterusan selagi ayam itu tidak laku,” kata peniaga berusia dalam lingkungan 40-an.
Wong yang mengakui baru setahun menjalankan perniagaan itu berkata, cara sama sudah diamalkan oleh peniaga terdahulu dan ia ternyata berjaya memastikan kualiti ayam yang dijual dan menjamin kebersihan sekeliling.
Katanya, ramai pengunjung tertarik dengan cara mereka menjual ayam itu dan ramai juga yang mengambil gambar kenang-kenangan.
Sementara itu, seorang pelancong dari Yong Peng, Johor, Rahmat Kamsono, 39, berkata pembungkusan ayam hidup itu cukup unik dan beliau tidak pernah melihat kaedah itu di tempat lain.
“Memang betul kata penjual ayam itu. Membungkus ayam dengan surat khabar ternyata menjamin kebersihan persekitaran. Kalau meletakkan ayam-ayam itu
dalam sangkar atau sekadar mengikatnya, tentu penuh dengan najis ayam tempat ini,” katanya.
sumber : bharian

No comments:
Post a Comment