Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Prestasi Felda Global: Pas beri Ahmad Maslan 3 hari

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub memberi tempoh tiga hari kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan untuk memberi penjelasan terperinci berhubung prestasi pelaburan Felda Global Venture Holdings (FGVH) dalam dan luar negara.

Salahuddin yang juga Naib Presiden Pas berkata, Ahmad tidak memberi jawapan yang khusus berhubung soalan dikemukakan di Dewan Rakyat minggu lalu.

"Saya meminta beliau memperincikan prestasi semasa pelaburan FGVH di dalam dan luar negara dan kajian mendalam baik buruknya penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

"Bagaimanapun, beliau (Ahmad) cuba mengaburi rakyat dengan memberi angka-angka keuntungan sedangkan kita tahu pelaburan FGVH di luar negara adalah pelaburan yang rugi," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Menurut Salahuddin, beliau akan memberi satu notis kepada Ahmad untuk memberikan jawapan bertulis dan hadir di Parlimen untuk memberikan penjelasan yang lebih khusus.

"Saya beri tempoh tiga hari kepada Ahmad Maslan untuk butirkan prestasi pelaburan FGVH di luar negara.

"Beliau cuma nyatakan pada 2009 hingga 2010, keuntungan FGVH berjumlah RM203 juta di dalam negara dan RM366 juta di luar negara. Rakyat mahu tahu syarikat mana yang terlibat dalam pelaburan itu dan tahap prestasi semasa," katanya.

Salahuddin berkata, Pas menunggu jawapan daripada Ahmad dan sekiranya gagal berbuat demikian, mereka akan mendedahkan maklumat yang sebenar.

"Kita meragui jawapan beliau kerana kita mempunyai maklumat mengenai angka-angka yang sebenar, jika beliau tidak menjelaskan secara terperinci... ada dokumen yang akan kita dedahkan nanti," katanya.

Sebelum ini, pelaburan-pelaburan yang dijalankan anak-anak syarikat FGVH seperti Felda Iffco Sdn Bhd, Felda Global Technologies melalui Twin Rivers Technolgies US (TRT) mencatatkan kerugian terkumpul hampir RM500 juta setakat 2010.

sumber : sinarharian

No comments: