Partime Job

Wednesday, 28 March 2012

Pintu khas pusat urut


KLANG: Sebuah pusat urut haram di Taman Bayu Perdana, di sini, dikesan menyediakan pintu khas bagi memudahkan pelanggannya melarikan diri jika diserbu pihak berkuasa.

Taktik itu dikesan dalam serbuan bersepadu yang dijalankan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), kelmarin.


Serbuan jam 3 petang itu juga membongkar misteri satu papan tanda setinggi tiga tingkat bangunan di sebuah bangunan blok tepi di Jalan Batu Unjur 7 digunakan untuk melindungi aktiviti pusat urut terbabit.

Pengarah Jabatan Penguat kuasa MPK, Andry Arman Masrom berkata, pusat urut yang eksklusif itu difahamkan beroperasi sejak beberapa bulan lalu dan lokasinya strategik kerana terletak di tempat tersembunyi.


“Pusat terbabit dilengkapi pelbagai kemudahan eksklusif seperti spa, jakuzi, kafe dan bilik sauna untuk menarik perhatian pelanggan kaya yang inginkan belaian manja gadis muda warga Thailand dan China.


“Pemilik premis adalah lelaki tempatan berumur 40 tahun dan berasal dari Klang. Soal siasat mendapati terdapat sebuah lagi premis sama beroperasi di Taman Sentosa,” katanya.

Menurutnya, dalam serbuan itu, lebih 10 lelaki tempatan dipercayai pelanggan berada di dalam premis manakala tukang urut dipercayai wanita warga Thailand dan China sudah melarikan diri sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa.


Katanya, pusat urut itu juga dilengkapi satu lorong kecil dipanggil ‘lorong tikus’ bagi memudahkan pelanggan dan pekerja tukang urut melarikan diri jika diserbu.

“Laluan ini terletak antara papan tanda dan tingkap bangunan premis yang menyambungkan ke bahagian bumbung premis bersebelahan,” katanya.


Andry berkata, seramai 19 anggota terbabit dalam operasi berkenaan yang turut melakukan serbuan di Pelabuhan Klang, Bukit Tinggi dan Bandar Baru Klang.


“Kami akan melipatgandakan operasi seperti ini bagi memastikan tiada pihak yang menjalankan perniagaan secara haram, terutama membabitkan rumah urut.


“Pemantauan dari semasa ke semasa dan risikan serta maklumat awam banyak membantu kami menangani isu berkaitan pusat urut haram yang beroperasi di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di sini.


Katanya, pusat urut itu disita mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3, Pusat Kecantikan dan Penjagaan MPK 2007 kerana beroperasi secara haram.

sumber : mymetro

No comments: