Partime Job

Monday 26 March 2012

Pesan jaga anak

AMPANG: Seorang lelaki warga Bangladesh sempat berpesan kepada rakannya menjaga isteri dan anaknya yang berusia lima bulan sebelum menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas ditembak individu tidak dikenali di depan pintu hostel penginapannya, semalam.

Mangsa, Liton Gazi, 32, penyelia sebuah kelab rekreasi di Taman Melawati, di sini, ditemui terbaring berlumuran darah di depan pintu hostel di bahagian bawah bangunan kelab berkenaan berhampiran tempat letak kenderaan.


Difahamkan, dalam kejadian itu, mangsa sempat meminta air dan berpesan kepada rakan yang menemuinya, jam 7.15 pagi supaya menjaga keluarganya yang ditinggalkan di Bangladesh. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 8 pagi daripada pengurusan kelab itu mengenai satu kejadian tembakan membabitkan lelaki warga Bangladesh.

“Berikutan itu, sepasukan polis bersama unit forensik dikejarkan ke tempat kejadian dan hasil siasatan di tempat kejadian menemui mangsa parah dipercayai ditembak sebaik keluar biliknya di bahagian bawah bangunan bersebelahan tempat letak kenderaan.


“Mangsa yang terkena tembakan dipercayai masih hidup dan dibawa ke HKL. Mangsa yang hanya berkain pelekat tanpa baju dipercayai terkena satu das tembakan di belakang rusuk kiri,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Mangsa yang sudah lima tahun bekerja di kelab itu disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke HKL.

Amiruddin berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian, tidak menemui senjata atau kelongsong peluru, namun masih meneliti barangan peribadi mangsa bagi membantu siasatan kes itu.


Menurutnya, pihaknya juga masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk suspek sama ada dilakukan individu atau penyerang berkumpulan.

Katanya, polis sudah merakam keterangan rakan mangsa dan pengurusan kelab yang menemui mangsa selain meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan suspek.


Justeru, beliau meminta saksi awam atau orang ramai yang melihat kejadian itu tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya atau balai berhampiran bagi membantu siasatan.


“Setakat ini, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

sumber : mymetro

No comments: