Partime Job

Thursday 22 March 2012

Peniaga terkejut, cermin kereta pecah


KUANTAN – Dua peniaga di Lorong Bukit Sekilau 30 dekat sini terkejut selepas mendapati cermin kiri kereta yang diparkir di hadapan rumah mereka pecah manakala bahagian dalam kenderaan mereka diselongkar.

Kejadian itu disedari pagi tadi kira-kira jam 9.30 pagi apabila mangsa, Wan Norasiah Wan Sulaiman, 44, keluar untuk ke butiknya di bandar.

Katanya, kejadian itu mungkin berlaku selepas jam 8 pagi kerana sudah menjadi kebiasaan suaminya, Mohd Azmi Salleh, 45, melihat persekitaran rumah sebelum keluar ke tempat kerja kira-kira jam 8 pagi.

“Saya menyedari kejadian itu ketika keluar rumah untuk ke butik dan pada masa sama terlihat kereta jiran yang turut dipecahkan sebelum memaklumkan perkara itu,” katanya yang terus menghubungi polis.

Wan Norasiah berkata, walaupun dia tidak menyimpan barangan penting di dalam kereta jenis Toyota Vios miliknya tetapi kesal kerana individu terbabit berani melakukan jenayah itu di hadapan rumahnya.

Katanya, walaupun kejadian itu pertama kali berlaku tetapi dia bimbang individu yang sama akan bertindak ke atas mangsa lain selepas ini.

Sementara itu, jirannya, Azwanie Omar, 30, masih terkejut dengan kejadian itu kerana tidak menyangka penjenayah itu boleh memecahkan cermin kereta Proton Pesonanya.

“Biasanya saya akan parkir kereta di depan rumah tetapi malam tadi terpaksa meletakannya selang sebuah rumah kerana banyak kenderaan di sini,” katanya yang tetap bersyukur kerana tidak menyimpan barang penting di dalam kereta itu.

Bagi menjaga keselamatan, Wan Norasiah dan Azwanie membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

sumber : sinarharian

No comments: