Tuesday, 13 March 2012
Pengadang dibiar patah setahun
GUA MUSANG - Pengadang jalan yang terbiar patah dan tajam di Kilometer 80 Jalan Gua Musang–Lojing berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Brooke, terdedah kejadian perangkap maut kepada pengguna jalan raya terbabit.
Ini kerana pengadang yang hampir setahun terbiar patah di situ selepas dirempuh sebuah kenderaan menimbulkan kebimbangan pengguna terutama untuk perjalanan waktu malam kerana tidak diletakkan lampu isyarat keselamatan.
Malah, kebanyakan pengguna mendakwa, pengadang jalan di situ membabitkan lorong lalu ke Lojing dan di kawasan selekoh yang mudah terdedah kepada kejadian tidak diingini.
Seorang pengguna, Husin Alias, 45, berkata, pihak terbabit sepatutnya mengambil perhatian serius terhadap perkara itu dengan membaik pulih segera sebelum pengguna ditimpa kemalangan meragut nyawa.
Dia bimbang dengan keadaan bahaya itu kerana jalan terbabit semakin maju dan sentiasa menjadi laluan pelbagai kenderaan sama ada mereka dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, Cameron Highlands dan ke Ipoh.
Katanya, kebanyakan pengguna apabila sampai di kawasan bahaya itu tetap merungut dengan keadaan sedemikian dan kesal dengan sikap pihak bertanggungjawab yang masih membiarkan begitu sahaja hingga kini.
“Walaupun ramai pengguna sentiasa berhati-hati melalui jalan itu kerana menyedari banyak kawasan merbahaya tetapi kelalaian yang berlaku mungkin terdedah kepada kejadian tidak diingini seperti yang berlaku di kebanyakan tempat lain,” katanya.
Rahim Daud, 51, pula berkata, hanya setakat meletak sebiji kon di tempat pengadang patah itu tidak memadai untuk memberi peringatan kepada pengguna terutama mereka yang membuat perjalanan waktu malam hingga awal pagi.
Dia juga terkejut dengan keadaan penghalang patah dan terbiar tajam di situ yang boleh menimpa bahaya kepada pengguna pada bina-bila masa sahaja.
“Kami mengharap benar supaya pihak tertentu mengambil langkah segera untuk membaik pulih pengadang yang patah itu bagi menjaga keselamatan semua pengguna,” katanya.
sumber : sinarharian
Labels:
Berita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment