Partime Job

Tuesday, 13 March 2012

Beruk jantan mengamuk


ALOR LINTAH - Seorang datuk cedera parah di tangan selepas diserang seekor beruk jantan ketika melindungi cucu dan keluarga daripada diserang haiwan tersebut di rumahnya, di sini.

Tragedi itu menyebabkan dia terlantar selama lapan hari di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Wan Abdul Halim Wan Sulaiman, 65, diserang beruk itu pada kira-kira jam 6.30 petang akhir bulan lalu ketika menghalau beruk yang cuba menyerang cucunya, Wan Aqil Wan Hasnol berumur setahun dua bulan.

Tukang kayu itu cedera di telapak tangan kiri dan kanan selepas diserang beruk itu yang secara tiba-tiba menerkam ke arahnya selepas dia menjerkah beruk tersebut.

Masuk melalui tingkap

Menurutnya, beruk tersebut memasuki dalam salah satu bilik tidur dalam rumahnya melalui salah satu tingkap yang terbuka.

“Ketika itu cucu saya bersama ibu saudaranya, Wan Hasmani, 24, berada dalam bilik tersebut. Wan Hasmani yang sedang membaca surat khabar terdengar suara Wan Aqil menghalau sesuatu dan kemudian mendapati seekor beruk berada di dalam bilik tersebut,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, isterinya, Wan Minah Wan Munah, 55, dan anak bongsu, Wan Mohd Hakim, 16, juga berada di situ.

Arah keluarga sembunyi di bilik lain

Wan Abdul Halim berkata, mereka berteriak lalu melarikan diri ke bilik sebelah melalui pintu tengah antara kedua bilik tersebut.

Mendengar jeritan itu, Wan Abd Halim meluru ke dalam bilik dan mendapati beruk tersebut menghala ke arahnya.

Pada masa sama, dia mengarahkan semua ahli keluarganya termasuk isterinya bersembunyi di dalam bilik lain.

“Beruk itu dengan muka garang menuju ke arah saya menyebabkan saya undur perlahan-lahan ke arah pintu utama rumah sambil memegang sebatang penyapu. Saya memang takut ketika itu tetapi walau apapun saya akan hadapi beruk itu demi mempertahankan diri dan keluarga saya terutama cucu,” katanya.

Nampak taring sepanjang empat sentimeter

Katanya, beruk tersebut terus mengekorinya sambil membuka mulut menampakkan taring sepanjang kira-kira empat sentimeter.

Apabila tiba di muka pintu, saya terus keluar ke bahagian tangga menyebabkan beruk tersebut juga keluar turun ke tanah lalu meninggalkannya.

Namun, beruk tersebut kemudiannya bertindak menarik satu demi satu pakaian yang berada di jemuran di depan rumah.

“Saya yang masih berada di situ lalu menjerkah beruk tersebut menyebabkan ia menerkam ke arah saya lalu menggigit tapak tangan kiri saya. Saya cuba pukul beruk itu dengan tangan kanan tetapi ia terus mengigit telapak tangan itu dan tidak melepaskannya. Saya berteriak meminta tolong dan sebaik isteri saya keluar lalu menjerit beruk itu melepaskan tangan saya lalu melarikan diri,” katanya.

Wan Abdul Halim mendapati kedua-dua tangannya berdarah dan melihat urat tangan hampir terkeluar.

Minta bantuan jiran

ISTERINYA meminta bantuan jiran sekampungnya untuk menghantar ke hospital dan ketika menunggu jirannya tiba di tepi jalan besar berhampiran lampu isyarat Alor Lintah, dia dapati beruk itu muncul semula dan menuju ke arahnya.

Dalam keadaan berdarah dia dan isteri bersembunyi di dalam sebuah kedai jirannya sementara menunggu kereta datang dan dia mendapati beruk tersebut memanjat bumbung kedai tersebut.

Katanya, beruk itu masih mengekorinya walaupun dia masuk ke dalam kereta.

Malah, beruk itu turut memanjat bumbung kereta malah mengekorinya sehingga 300 meter selepas dia meninggalkan kedai itu.

“Saya dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan terlantar di wad hospital berkenaan selama lapan hari akibat kecederaan itu. Akibat gigitan tersebut urat tapak tangan putus dan hampir tembus ditusuk taring beruk itu. Ketika kejadian saya hanya memikirkan kematian malah saya masih trauma sehingga kini,” katanya yang perlu menjalani fisioterapi di Hospital Besut secara berjadual.

Walaupun kecederaannya beransur sembuh tetapi dia masih tidak berdaya untuk menggenggam kedua-dua tangan itu.

Wan Abdul Halim berkata, ketika dia dirawat di hospital, anaknya memberitahu melihat kelibat beruk itu bermain di sekitar rumahnya namun kini tidak kelihatan lagi.

Dia percaya beruk tersebut masuk ke dalam rumahnya kerana tertarik dengan cucunya.

Perhilitan arah lapor segera

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Besut telah mengarahkan kakitangannya melakukan operasi menangkap beruk tersebut sebaik menerima laporan.

Ketua Perhilitan Besut dan Setiu, Edley A Jiliun berkata, beberapa anggotanya telah pergi ke kawasan kejadian untuk menangkap beruk tersebut termasuk dengan kaedah perangkap namun usaha itu gagal.

Menurut Edley, pihaknya tidak dapat mengesan beruk tersebut sehingga kini kerana dipercayai telah masuk ke dalam belukar atau hutan berhampiran.

“Saya harap orang ramai yang terserempak atau mempunyai maklumat mengenai beruk tersebut segera melaporkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau juga tidak dapat memastikan sama ada haiwan tersebut adalah beruk liar atau terlepas daripada peliharaan orang kampung.

sumber : sinarharian

No comments: