Partime Job

Friday 30 March 2012

Pencemaran Sungai Semang

PARIT BUNTAR – Air sisa buangan tidak diproses daripada sebuah kilang di Sungai Rawa, Simpang Lima, didakwa menyebabkan pencemaran kepada Sungai Semang dan menjejaskan pendapatan kebanyakan nelayan kecil, di sini.

Penduduk, Rosli Hamid, 50 mendakwa, air sisa buangan daripada kilang itu dilepaskan secara terus ke dalam Sungai Semang tanpa menjalani proses pembersihan terlebih dahulu.

Menurutnya, kebanyakan nelayan kecil risau sungai berkenaan tidak lagi boleh dijadikan sumber pendapatan mereka ekoran pencemaran yang berlaku.

“Sepanjang tiga kilometer Sungai Semang mengalami pencemaran sejak pengurusan kilang berkenaan dipercayai bertukar tangan daripada pihak Sime Darby kepada pihak lain.

“Kami percaya pengurusan baru kilang terbabit tidak menjalankan aktiviti pembuangan sisa kumbahan kilang mengikut prosedur ditetapkan sepertimana dilaksanakan oleh pihak Sime Darby dahulu,” katanya ketika ditemui, di sini.

Rosli menjelaskan, akibat daripada pencemaran yang berlaku, ikan yang mempunyai nilai tinggi dalam Sungai Rawa dipercayai telah berpindah ke habitat lain dan tidak lagi kelihatan dalam sungai itu.

“Kita harap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini kerana kami risau seluruh hidupan sungai di sini akan pupus dan Sungai Semang akan menjadi sungai mati,” katanya.


Perlu pemantauan

Penduduk, Mat Hashim Kariah, 51 berkata, masalah pencemaran Sungai Semang tidak boleh dibiarkan berterusan dan memerlukan pemantauan, penyelenggaraan dan tindakan tegas daripada pihak berwajib.

“Kilang berkenaan hanya mementingkan keuntungan sahaja dan tidak pernah memikirkan kesan daripada aktiviti tidak bertanggungjawab mereka kepada nelayan kecil serta Sungai Semang sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim Sulaiman, 58 berkata, perkara yang lebih membimbangkan adalah kemungkinan pencemaran sungai berkenaan akan merebak ke Sungai Kerian.

Katanya, terdapat pintu air automatik yang baru dibina pada awal tahun ini di kuala Sungai Semang, yang mengawal kemasukan air dari sungai itu ke Sungai Kerian.

“Pintu air berkenaan dibina sebagai satu langkah mengawal kejadian banjir dan akan terbuka secara automatik jika air dari Sungai Semang mengalir dalam amaun yang banyak serta deras ke Sungai Kerian.

“Keadaan itu boleh menyebabkan air sungai yang tercemar mengalir masuk ke dalam Sungai Kerian dan akan menjejaskan hidupan di sungai itu pula. Kita risau hidupan air akan pupus jika keadaan ini berlaku,” katanya.

Ibrahim berharap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Daerah Kerian (MDK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dapat mengambil perhatian serius berhubung masalah ini.

“Kita minta jabatan berkenaan turun padang dan melihat sendiri keadaan di Sungai Semang dan lebih penting membantu dalam usaha memulihara khazanah hidupan sungai daripada ancaman kepupusan,” katanya.


JPS ambil perhatian

Jurutera JPS Daerah Kerian, Hidzrami Shamsul Anwar berkata, JPS akan mengambil perhatian ke atas dakwaan penduduk itu dan akan menyiasat keadaan Sungai Semang terlebih dahulu sebelum membuat tindakan lanjut.

Katanya, jika pihak pengurusan kilang didapati benar-benar melanggar garis pandu yang ditetapkan, masalah berkenaan akan dipanjangkan kepada semua agensi berkaitan termasuk MDK dan JAS untuk tindakan tegas.

“Adalah menjadi satu kesalahan jika kilang berkenaan beroperasi tanpa permit atau menyalurkan sisa buangan yang boleh mengakibatkan pencemaran sungai.

“JPS akan melihat sendiri aktiviti yang dijalankan oleh kilang terbabit. Jika benar mereka melakukan kesalahan seperti didakwa, pihak berkuasa tidak akan teragak-agak me­ngambil tindakan tegas,” katanya ketika dihubungi, semalam.

sumber : sinarharian

No comments: