Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Pemilik mohon maaf budak digigit anjing

BUKIT MERTAJAM: Pemilik anjing yang menyerang kanak-kanak, Dhiya Qairina Muhammad Nur Akmal, 7, di Bandar Perda, di sini, Ahad lalu memohon maaf dan menyerahkan nasib haiwan peliharaannya itu kepada pihak berkuasa.

Lelaki yang identitinya enggan dikenali berkata, dia kesal dengan kejadian yang menimpa mangsa hingga kanak-kanak itu terpaksa dimasukkan ke dalam wad akibat kecederaan selepas diserang anjing peliharaannya.

“Saya dapat merasakan kesukaran yang dialami mangsa dan ibu bapanya kerana saya juga bapa kepada beberapa orang anak. Saya sebenarnya amat berharap kejadian itu tidak menimpa sesiapa, terutama kanak-kanak,” katanya di sini, semalam

Lelaki itu mendakwa sudah memelihara anjing berkenaan kira-kira dua tahun dan tidak menyangka ia dapat melepaskan diri daripada kurungan sebelum menyerang mangsa.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan nasib anjing itu kepada pihak berkuasa berikutan kejadian itu.

“Saya akan menerima apa saja keputusan yang dibuat pihak berkuasa,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri, Dr Johari A Bakar, berkata anjing berkenaan akan ditahan sekurang-kurangnya selama 10 hari.
Katanya, jabatan itu akan memantau sama ada anjing berkenaan mempunyai simptom anjing gila sebelum membuat keputusan lanjut. Mengikut prosedur, anjing itu perlu dihapuskan jika didapati berbahaya.

Semalam, akhbar melaporkan Dhiya Qairina parah selepas diserang seekor anjing yang terlepas daripada kurungan ketika menunggang basikal di Lorong Perda Timur 9, Bandar Perda, di sini, petang kelmarin.

Mangsa yang bermain di depan rumah diterkam dari arah belakang oleh anjing berwarna hitam milik jiran sebelum digigit pada belakang bahu, pinggang dan punggung dalam kejadian jam 6.45 petang itu.

Mangsa diselamatkan bapanya, Muhammad Nur Akmal Abdul Latiff, 47, dan dibawa ke sebuah hospital swasta berdekatan untuk mendapatkan rawatan sebelum dimasukkan ke dalam wad.

Berikutan itu, Muhammad Nur Akmal membuat laporan di Balai Polis Bandar Perda dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

sumber : bharian

No comments: