Partime Job

Thursday, 15 March 2012

Pembedahan ditangguhkan


BATU PAHAT – Lelaki yang mengidap penyakit angin pasang atau hernia dari Pontian, Ali (bukan nama sebenar) terpaksa menunggu lagi selepas pembedahan ditangguhkan berikutan berhadapan dengan masalah kesihatan.

Ali yang menerima rawatan pertamanya di Hospital Batu Pahat, kelmarin bagaimanapun tidak menjangka yang dia perlu melakukan pembedahan kecemasan segera pada hari yang sama.

Lelaki berusia 50 tahun itu memberitahu, dia perlu berpuasa selama enam jam dan berehat di hospital terbabit sebelum pembedahan dilakukan kira-kira jam 12 tengah malam.

“Pada mulanya saya rasa takut, apabila doktor menyatakan perlu dibedah segera, sedangkan saya datang ke sini hanya untuk melakukan rawatan penyakit ini. Saya berdoa supaya pembedahan ini dapat dilakukan dengan selamat.

"Bagaimanapun, setelah pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital beberapa jam sebelum pembedahan, doktor memberitahu pembedahan terpaksa ditangguhkan dan tarikh berkenaan akan diberitahu kemudiannya kerana tahap kesihatan saya tidak mengizinkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian yang turut hadir ketika rawatan pemeriksaan di Klinik Pakar 2 itu bagaimanapun gagal mendapatkan maklumat lanjut berhubung pembedahan dan penyakit Ali selepas pihak hospital enggan mendedahkannya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Pas Pontian, Noorsaiful Amri, berkata pihaknya bersedia menyediakan pengangkutan kepada Ali selepas mendapati lelaki itu tidak mempunyai kenderaan untuk berulang-alik ke Hospital Batu Pahat.

Katanya, setelah rawatan pertama yang dilakukan, pihaknya pasti akan ada beberapa lagi rawatan susulan dilakukan sebelum pembedahan dan pihaknya akan menanggung segala kos pengangkutan.

“Kita perlu menolong orang yang berada dalam kesusahan, terutama mereka yang mengalami masalah kesihatan seperti ini. Dari luaran pun kita boleh tengok dia ini tidak sihat, takkan nak dibiarkan dia pergi sendiri. Pihak kami akan mendapatkan tarikh dan juga masa di mana Ali perlu mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya.

sumber : sinarharian

No comments: