Partime Job

Friday 9 March 2012

Pegang baju satu sama lain 20 minit

MELAKA: “Saya sempat berpaut di tepi perahu sambil memegang kolar baju arwah supaya dia tidak hanyut, namun dia hilang apabila dipukul ombak,” kata Mohd Noor Saimin, 53.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam kelmarin, perahu dinaikinya bersama mangsa, Mahmod Abu Samah, 64, terbalik selepas dipukul ombak besar iaitu kurang setengah kilometer (km) dari muara Pangkalan Nelayan Tanjung Nibong, Telok Mas, dekat sini, ketika dalam perjalanan pulang memancing ikan.


Ia menyebabkan mangsa terkorban, manakala Mohd Noor berjaya menyelamatkan diri sebelum diselamatkan nelayan lain.

Menurut Mohd Noor, sebelum kejadian, dia dan mangsa memancing ikan berhampiran Pulau Hanyut, kira-kira jam 6.30 petang. “Sewaktu tiba di Pulau Serimbun iaitu kira-kira empat kilometer dari kawasan pantai, hujan mula lebat dan kami terpaksa berlindung berhampiran Pulau Lalang berhadapan jeti Pulau Besar.


“Kami berlindung di situ selama kira-kira 45 minit dan mula bertolak pulang apabila hujan reda. Namun, apabila tiba di Pulau Menatang, ombak semakin besar, tetapi saya meneruskan perjalanan hingga ke pondok ternakan kupang.


“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi itu, ombak menjadi semakin tinggi dan menyebabkan perahu dinaiki terbalik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, sejurus perahu terbalik, dia dan mangsa terperangkap di bawahnya sebelum berjaya keluar menyelamatkan diri.


“Kami memegang baju antara satu sama lain selama kira-kira 20 minit sebelum perahu itu dipukul ombak besar hingga genggaman saya terlepas.

“Selepas itu, arwah kelihatan lemah dan tidak berdaya lagi sebelum dilihat semakin jauh dihanyutkan,” katanya.


Kata Mohd Noor, dia berpaut pada tiang konkrit selama kira-kira setengah jam sambil menjerit meminta bantuan.


Dia diselamatkan kira-kira jam 11.45 malam kelmarin, dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.


Sementara itu, isteri mangsa, Rosimah Ahmad, 64, berkata, suaminya itu memberitahu mahu pergi memancing, kira-kira jam 6 petang kelmarin.


“Saya melarang dia untuk pergi memandangkan hari sudah gelap dan cuaca mendung, namun tidak diendahkan,” katanya yang dimaklumkan mengenai kejadian itu, kira-kira jam 11 malam kelmarin.

sumber : mymetro

No comments: