Partime Job

Friday 2 March 2012

P Judi Bawa Bapa Skali


PUCHONG – Seorang anak sanggup mengheret bapa yang berusia 71 tahun menemaninya ke sebuah pusat perjudian kononnya untuk mengisi masa lapang apabila mendakwa janji temunya dengan seorang kawan dibatalkan.

Difahamkan, bapa lelaki berusia lingkungan 40-an yang dipercayai mengidap penyakit asma terpaksa membatukan diri sementara menunggu anaknya bertaruh wang di mesin komputer lengkap perisian perjudian online (dalam talian).

Namun, nasib kedua-duanya bertukar malang apabila ditahan sepasukan anggota Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyerbu masuk premis terbabit di Pusat Perdagangan Kinrara (PPK) 1 di sini, petang semalam.

Penolong Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mazrul Zahar Mohd berkata, dalam serbuan bersama Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang itu, enam premis bertopengkan pusat siber diperiksa.

Menurutnya, lima premis didapati menjalankan kegiatan tanpa lesen dan menawarkan pertaruhan menerusi perjudian online dan mesin slot.

Manakala sebuah premis tidak dikenakan tindakan kerana mempunyai lesen perniagaan dan hanya menawarkan perkhidmatan Internet.

“Kesemua premis dipercayai bergiat aktif sejak tiga bulan lalu selepas beberapa kali ditutup dalam serbuan sebelum ini.

“Pihak majlis merampas 63 set komputer judi online manakala polis menyita 37 mesin slot yang kesemuanya dianggarkan bernilai hampir RM150,000,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pengusaha akan dikenakan tindakan di bawah Undang-undang Kecil 3 Undang-undang Kecil Pusat Siber MPSJ 2007 kerana tidak mempunyai lesen perniagaan sah MPSJ.

Sementara itu, Pegawai D7, Inspektor Roslin Mohd Isa berkata, 12 pemain dan dua penjaga ditahan dalam serbuan itu.

“Kesemua yang ditahan termasuk tiga warga Indonesia berusia 20 hingga 70 tahun dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut.

“Mereka berdepan tindakan di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Sumber : Sinar Harian

No comments: