Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Orang Asli diberi perhatian


SERI CHEEDING – Penduduk Orang Asli Bukit Cheeding kini boleh menarik nafas lega apabila Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Karli berjanji akan membaik pulih taman permainan di kawasan berkenaan yang didakwa terpinggir.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP), Manja Belit berkata, laporan Sinar Harian pada Ahad lalu mengenai taman permainan berkenaan mendapat perhatian pelbagai pihak.

Menurutnya, ketika pemerintahan Kerajaan Negeri terdahulu, taman permainan itu di selenggara dengan baik namun apabila berlaku pertukaran pemerintahan suara penduduk di situ seperti diabaikan.

“Tiada pemimpin yang turun padang mendengar permasalahan kami di sini dan taman permainan itu dibiarkan terabai sehingga rosak dan tidak sesuai lagi digunakan kanak-kanak.

“Tetapi kunjungan kali ini memberi sinar kepada kanak-kanak di sini untuk mendapatkan tempat riadah yang lebih baik dan selesa berbanding yang sedia ada sekarang,” katanya kepada Sinar Harian.

Manja berkata, penyelenggaraan taman permainan itu perlu segera dilakukan kerana dikhuatiri masih ada kanak-kanak yang bermain di situ.

“Tahap keselamatan alatan permainan yang ada di situ memang membimbangkan. Kebanyakannya telah karat dan boleh patah bila-bila masa. Kanak-kanak yang bermain di situ sudah tentunya terdedah kepada bahaya yang boleh mengancam nyawa,” katanya.

Sementara itu, Datuk Sulaiman Mohd Karli berkata, pihaknya bakal memanjangkan permohonan membaik pulih taman tersebut secepat mungkin kepada pihak bertanggungjawab supaya kanak-kanak di sini boleh bermain dengan gembira.

Katanya, pihaknya tidak pernah dimaklumkan masalah berkenaan sebelum ini namun telah bertindak turun melawat kawasan untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi Orang Asli di situ.

“Pihak kita tidak pernah diberitahu mengenai masalah berkenaan sehinggalah laporan mengenainya disiarkan Sinar Harian.

“Hasil pemerhatian turun padang mendapati peralatan permainan di situ sememangnya perlu dinaik taraf bagi keselesaan pengguna,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: