Partime Job

Tuesday 6 March 2012

Nenek gadai nyawa selamatkan si kembar


KODIANG - Seorang nenek sanggup menggadaikan nyawa demi menyelamatkan sepasang cucu kembarnya dalam kebakaran di rumah mereka di Kampung Kolam di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 petang itu, pasangan kembar seiras, Sharmila Erisya Sunizat dan Sharmila Ailiza, 3, nyaris maut selepas rumah pusaka yang turut didiami 11 anggota keluarga yang lain musnah dalam sekelip mata.

Menceritakan detik cemas itu, nenek pasangan kembar itu, Norlia Lebai Arif, 52, berkata, dia nekad merempuh masuk ke rumah berkenaan bagi menyelamatkan kedua-dua cucunya selepas melihat api yang mula marak.

Menurutnya yang ketika itu berada di pondok milik keluarga terletak kira-kira lima meter dari rumah terbabit terkejut melihat api keluar dari rumah berkenaan dan sempat menjerit sekuat hati meminta tolong.

“Pada masa itu juga saya berlari masuk ke rumah itu bagi menyelamatkan cucu-cucu saya yang kebetulan ditinggalkan sendirian di rumah itu sementara ibu mereka keluar mengambil anak lain yang bersekolah.

“Saya langsung tidak fikir nyawa saya, sebaliknya berusaha menyelamatkan mereka sendirian memandangkan ketika itu semua ahli keluarga tiada di rumah kerana keluar bekerja dan bersekolah,” katanya.

Difahamkan Norlia dan suaminya, Said Serat, 62, hanya tinggal di rumah papan setingkat lima bilik itu pada siang hari dan berpindah ke pondok berhampiran rumah pusaka itu pada waktu malam.

Sementara itu, ibu pasa-ngan kembar yang juga anak ketujuh Norlia, Ina Suriani Said, 27, berkata, dia terkejut mendengar kejadian yang menimpa kedua-dua anak bongsunya itu.

“Biasanya saya akan meminta ibu menjaga anak-anak saya setiap kali keluar me-ngambil anak sulung dari sekolah. Namun hari ini (semalam) tanpa berfikir apa-apa saya meninggalkan mereka dan keluar begitu sahaja.

“Saya tidak sangka kejadian ini berlaku. Mujur semua anak saya selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Kayu Hitam, Hamizy Hashim ketika dihubungi memberitahu pihaknya bergegas ke tempat kejadian dengan sebuah jentera selepas menerima panggi-lan kecemasan pada jam 1.59 petang.

Menurutnya bomba tiba 20 minit kemudian dengan kekuatan empat anggota dan berjaya memadamkan api 15 minit kemudian.

“Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasa-tan,” katanya.

Turut melawat keluarga mangsa ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif.

Sumber : Sinar harian

No comments: