KUALA LUMPUR 9 Mac - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Naluri Corporation Berhad (Naluri) membayar 36 bulan gaji kepada bekas ketua Unit Undang-undang dan Korporatnya, Rizana Mohamad Daud sebagai bayaran pampasan mengikut kontrak kerjanya.
Hakim Datuk V T Singham memerintahkan tuntutan plaintif dibenarkan dengan kos manakala bayaran penuh akan dinilai dan memerintahkan faedah 8 peratus setahun dari 15 April, 2005 sehingga tarikh penghakiman dibayar kepada plaintif.
Rizana, 47, yang merupakan adik ipar bekas Pengerusi Malaysia Arilines (MAS) dan Pengerusi Naluri, Tan Sri Tajudin Ramli, memfailkan tuntutan itu pada 6 April tahun lepas memohon pampasan kerana tidak menerima emolumennya, yang menurutnya beliau layak menerimanya mengikut Perkara 18 kontraknya.
Beliau berkata, antara terma kontrak kerjanya termasuk sekiranya beliau meninggalkan syarikat itu sama ada menerusi peletakan jawatan atau dipecat, Naluri perlu membayarnya RM1.46 juta.
Rizana meletak jawatan pada 14 Januari 2005. Beliau mendapat disebalik beberapa kali dipohon, syarikat itu gagal membayar amaun itu kepadanya. — BERNAMA

No comments:
Post a Comment