Partime Job

Thursday 15 March 2012

Model P3-21A terima tempahan


KERETA PROTON model terbaru P3-21A dipertontokan kepada orang ramai pada Pameran Mega Power of 1 di Bukit Jalil, semalam.
PROTON yakin sedan baru dapat sambutan

PROTON Holdings Bhd yakin model sedan baru yang bakal dilancarkan bulan depan, P3-21A akan mendapat sambutan daripada pengguna berikutan jaminan prestasi serta pengendalian yang ditawarkan oleh kenderaan itu, kata Pengarah Urusannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Beliau berkata, keyakinan itu diperkukuhkan lagi apabila model baru itu menerima tempahan pertamanya seawal pagi semalam pada pameran mega ‘Power of 1’, meskipun ia masih belum dilancarkan dan dipertontonkan kepada orang awam sepenuhnya.
“Kami menerima tempahan pertama pada 10 pagi ini (semalam) ketika pameran baru dibuka, dengan pembeli pertama itu datang ke acara ini semata-mata untuk menempah P3-21A.

“Ini memberi petunjuk baik kepada potensi jualan untuk model baru kali ini,” katanya pada dalam satu sesi eksklusif bersama media pada acara ‘Power of 1’ yang diadakan di pekarangan tempat letak kereta di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Acara ‘Power of 1’, pameran automotif terbesar yang pernah dianjurkan oleh PROTON bermula semalam hingga Ahad ini.

Program selama lima hari itu mempamerkan pelbagai pencapaian pengeluar kereta nasional itu, yang sekali gus turut menandakan hari pembukaan tempahan model P3-21A di seluruh negara.
Pengunjung yang datang ke acara itu boleh membuat tempahan awal dengan hanya perlu membayar RM500, manakala PROTON Holdings juga menyediakan beberapa tawaran terbaik untuk model kereta PROTON yang lain.

Syed Zainal Abidin berkata, pada pameran itu, orang ramai boleh menempah salah satu daripada tiga varian yang disediakan oleh model P3-21A iaitu 1.6 liter CFE (premium), 1.6 liter CVT (eksekutif) serta 1.6 liter manual.

“Harga permulaan ditawarkan adalah antara RM62,000 hingga RM75,000. Namun begitu, harga rasminya hanya akan diketahui pada hari pelancarannya kelak,” katanya.

Bakal pembeli yang menempah model baru itu pada acara berkenaan juga berpeluang untuk memenangi program pengalaman memandu sendiri kereta Lotus F1 Team I-Race di Sepanyol menerusi peraduan ‘Beli dan Menang’.

Pada acara sama, orang ramai juga berpeluang menyaksikan beberapa previu ke atas model P3-21A termasuk proses membinanya, panel meter serta prestasi pengendalian kereta yang dilakukan oleh barisan jurutera kanan syarikat itu.

Reka bentuk model P3-21A pula boleh ditinjau menerusi sebuah kotak khas yang disediakan dalam satu khemah acara.

PROTON Holdings juga menayangkan ‘teaser’ video model baru berkenaan yang membolehkan orang ramai menyaksikan beberapa bahagian elemen baru yang ditampilkan pada kenderaan berkenaan dan membuat penilaian ke atasnya.

Selain tumpuan ke atas model P3-21A, program ‘Power of 1’ juga menampilkan beberapa acara lain seperti inisiatif sukan permotoran PROTON, penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan My PROTON Makeover, program kerjaya PROTON Holdings serta cabutan bertuah untuk pengunjung.

sumber : bharian

No comments: