Partime Job

Thursday, 15 March 2012

Zara Eleena ada masalah

KUALA LUMPUR: Pensyarah bahasa Inggeris sebuah kolej swasta di ibu negara, Zara Eleena Omar Peter, 23, yang ditemui mati bersama bapanya di kediaman mereka di Taman Kinrara di sini, Ahad lalu, dikatakan tidak hadir ke kolej beberapa hari dipercayai mempunyai masalah peribadi.

Difahamkan, pengurusan kolej berkenaan sudah mengambil pelbagai usaha termasuk menghubungi telefon bimbit Zara Eleena bagi mengetahui sebab ketidakhadiran ke kolej, namun gagal sebelum dimaklumkan mangsa ditemui mati.


Pihak pengurusan kolej berkenaan berkata, pihaknya dan rakan Zara Eleena tidak mengesyaki sebarang kejadian tidak diingini menimpa mangsa, namun tidak menyangka gadis berkenaan bersama bapanya menjadi mangsa bunuh.
“Zara Eleena bertugas sebagai pengajar bahasa Inggeris tidak sampai setahun lalu. Beliau seorang yang komited terhadap kerja dan sentiasa terbabit dalam kegiatan kokurikulum.

“Mangsa antara tenaga pengajar disenangi pelajar kolej. Bagaimanapun, beberapa hari sebelum ditemui mati, beliau tidak hadir ke kolej tanpa memaklumkan sebarang alasan, dipercayai mempunyai masalah peribadi, ” katanya semalam.

Dalam kejadian malam Ahad lalu, Zara Eleena ditemui dalam keadaan terbaring di atas lantai biliknya, manakala bapanya Omar Peter Abdullah, 56, dalam keadaan tertiarap diatas katil bilik utama sehingga menimbulkan tanda tanya apabila tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada kedua tubuh badan mangsa.

Berikutan kejadian itu, dua lelaki termasuk teman lelaki mangsa yang juga pelajar kolej ditahan di rumah mereka di Pandan Indah, Ampang petang Isnin lalu kerana disyaki individu terakhir yang berhubung dengan mangsa.
Pengurusan kolej turut mengesahkan dua suspek yang ditahan polis Isnin lalu bagi membantu siasatan kes itu adalah pelajar kolej berkenaan.

“Kedua-dua pelajar itu antara individu yang rapat dengan mangsa. Bagaimanapun, kami menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan bersedia membantu memberi sebarang maklumat sekiranya diperlukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias, berkata siasatan terperinci sedang dilakukan pihaknya dan polis masih menunggu laporan penuh berhubung punca kematian dua beranak itu daripada Jabatan Kimia dan Patologi.


sumber : bharian

No comments: