Partime Job

Thursday 15 March 2012

Tingkat eksport produk halal

Sasar pertumbuhan 6 peratus hasil pencapaian baik industri tahu lalu

MALAYSIA menyasarkan untuk mencatat pertumbuhan eksport produk halal sebanyak enam peratus kepada RM37.52 bilion tahun ini didorong pencapaian baik yang dipamerkan industri berkenaan pada tahun lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pada tahun lalu jumlah eksport produk halal negara bernilai RM35.4 bilion, iaitu 5.1 peratus daripada keseluruhan jumlah eksport keseluruhan negara.
Katanya, angka yang dicatatkan itu mengatasi anggaran yang dibuat, sekali gus menunjukkan Malaysia adalah antara pemain utama dalam industri halal.

“Saya percaya dengan nilai eksport yang dicatatkan, Malaysia muncul peneraju eksport produk halal dan yang terbesar di kalangan negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC),” katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi tahunan industri halal, di Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Eksekutif Halal Development Centre (HDC), Datuk Jamil Bidin.

Tahun lalu, sektor bahan halal menjadi penyumbang tertinggi dengan nilai eksport sebanyak RM12.3 bilion atau 35 peratus dan diikuti dengan sektor makanan dan minuman yang menyumbang sebanyak RM11.9 bilion (34 peratus).
Selain itu, sektor minyak sawit derivatif seperti oleokimia menyumbang RM7 bilion (20 peratus); bahan kimia industri bernilai RM2 bilion (enam peratus); sektor kosmetik menyumbang RM1.8 bilion (lima peratus) dan sektor farmaseutikal bernilai RM290 juta.

Lima pasaran utama bagi eksport produk halal negara adalah China, Amerika Syarikat, Singapura, Belanda dan Jepun.

Mustapa berkata, antara pendorong utama pertumbuhan nilai eksport negara adalah penduduk Muslim yang semakin meningkat di seluruh dunia selain peningkatan pembangunan ekonomi di negara Islam.

“Malaysia juga akan meneroka potensi yang ada bagi pasaran negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dianggotai enam negara termasuklah Bahrain, Kuwait, Qatar, Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Arab Saudi susulan kepesatan pembangunan ekonominya.

“Buat permulaan, dua acara besar akan diadakan pada penghujung bulan April di Muskat, Oman dan Doha, Qatar. Kami akan mengambil kesempatan untuk mempromosikan produk halal di negara berkenaan,” katanya.

sumber : bharian

No comments: