Partime Job

There was an error in this gadget

Friday, 30 March 2012

Meraung bawah lori terbalik

ALOR GAJAH: Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan selama lebih 45 minit selepas kenderaan berat membawa muatan batu kerikil dipandunya terbalik di Jalan Masjid Tanah-Sungai Udang dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, Abd Ghani Md Noh, 51, dalam perjalanan dari Masjid Tanah ke bandar Melaka dipercayai hilang kawalan selepas tayar belakang sebelah kanan lori tiga tan dipandunya meletup.


Berikutan itu, kenderaan mangsa terseret kira-kira 10 meter dan terbalik dengan empat tayar ke atas menyebabkan mangsa tersepit.

Saksi kejadian dikenali Ramasamy, 45, berkata, dia yang dalam perjalanan dari Sungai Udang ke Masjid Tanah terdengar letupan kuat ketika melalui satu selekoh berbukit sebelum melihat lori dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan dan terbalik menyebabkan muatan batu kerikil bertaburan.


“Saya dan beberapa orang awam segera memberhentikan motosikal dan berlari ke arah mangsa yang sedang meraung kesakitan.


“Mangsa bagaimanapun gagal dikeluarkan kerana lorinya terbalik,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa bernasib baik apabila hanya mengalami kecederaan di kaki kiri.


Sementara itu, seorang saksi yang memandu di belakang lori terbabit, Ismail Khamis, 37, berkata, dia terkejut apabila tayar lori terbabit tiba-tiba meletup menyebabkan kenderaan itu terhoyong-hayang sebelum terbabas dan merempuh tebing lalu terbalik.

“Nasib baik saya sempat memperlahankan motosikal dan mengelak kerana muatan batu kerikil dibawa bertaburan atas jalan,” katanya.


Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan II Zainuddin Joned, berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 3.15 petang.


“Sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dihantar ke lokasi untuk melakukan kerja menyelamatkan pemandu lori itu,” katanya.

sumber : mymetro

No comments: