Partime Job

Friday 30 March 2012

Wanita buntu suami tidak pulang setahun

KUALA LUMPUR: Seorang wanita dari Kelana Jaya, Petaling Jaya buntu berikutan kehilangan misteri suaminya sejak setahun lalu yang masih belum terungkai hingga kini.

Keadaan itu dirasai wanita berkenaan yang mahu dikenali Ina, 50, yang bimbangkan keselamatan suaminya, Sulaiman Ahmad, 44, selepas didakwa ke Jakarta, Indonesia untuk menguruskan perniagaannya pada Januari tahun lalu.


Menurutnya, kali terakhir dia bertemu suaminya pada penghujung Disember 2010 ketika berada di Johor bagi menghadiri kenduri saudara mereka.

Namun, dia dan anak terpaksa kembali ke ibu kota lebih awal dan meninggalkan Sulaiman kerana perlu menguruskan persekolahan anak selain kembali bekerja.


“Dia sempat menghubungi saya memaklumkan mahu ke Jakarta pada Januari 2011 dengan menaiki kapal terbang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Ketika berbual dia sempat meminta saya menjaga diri dan anak dengan baik.


“Saya tak sangka itu perbualan terakhir saya dengannya,” katanya yang datang ke Balai Berita, di sini.

Ina berkata, sejak mendirikan rumah tangga bersama Sulaiman selama 21 tahun mereka tidak pernah bertelingkah dan menghadapi masalah besar apatah lagi suaminya sememangnya begitu menyayangi mereka sekeluarga.


Katanya, sejak menjalankan perniagaan di Indonesia tiga tahun lalu, Sulaiman kerap ke sana sehingga berada hampir sebulan sebelum pulang bertemu dia dan anak.

“Saya yakin dia masih hidup dan berada di negara ini kerana berdasarkan siasatan imigresen tiada rekod menyatakan dia ke Jakarta. Saya tidak pasti apa punca yang menyebabkan dia tidak pulang ke rumah atau menghubungi kami sejak setahun lalu.


“Sudah pelbagai usaha saya dan anak lakukan termasuk melalui perubatan secara Islam bagi mengesannya, namun usaha itu sehingga kini masih gagal,” katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya pada Jun tahun lalu.


Menurutnya, ketika mendapatkan khidmat pengamal perubatan, suaminya didakwa terkena ilmu sihir yang mana menyebabkan dia lupa tanggungjawab terhadap keluarga dan selain didapati sudah berkahwin lain.


“Jika benar dia sudah berkahwin, saya reda. Saya tak minta apa-apa, cuma saya mahu dia pulang dan selesaikan masalah ini kerana anak begitu merindui ayah mereka,” katanya.


Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Sulaiman diminta menghubungi anaknya, Hazim di talian 013-2356778.

sumber : mymetro

No comments: