Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Makan kerepek kentang, terbang ke Old Trafford

Sebutlah apa sahaja - sama ada bulan jatuh ke riba, mimpi jadi kenyataan ataupun peluang sekali seumur hidup - kesemuanya masih tidak cukup untuk menzahirkan keterujaan sebenar 45 pemenang peraduan Mister Potato: Manchester United Ultimate Experience Trip dari tujuh negara termasuk lapan dari Malaysia yang mendapat peluang 'menggeledah' Old Trafford 8 hingga 12 Mac lalu.

Menggeledah bermaksud peluang melawat hampir kesemua ruang stadium kelab terkaya di muka bumi itu, termasuk yang menjadi kawasan larangan bagi pelawat lain. Malah pemegang pas musim Old Trafford juga tidak sekali-kali diberi ruang seperti itu.

Iyalah, bagi kita yang bukan dari negara liga bola sepak dunia, siapa yang mampu bermimpi akan dapat bersemuka dan berjabat tangan dengan bintang ternama seperti Wayne Rooney, Rio Ferdinand, Nani, Park Ji Sung, Chicharito, Carrick, Young, Scholes dan lain-lain.

Apa lagi untuk bersembang mesra dengan 'The Boss' Sir Alex Ferguson yang selama ini jarang sekali dilihat tersenyum melainkan hanya wajah serius mengunyah gula-gula getah di kaca TV.

Namun bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu!

Bukan 45 pemenang itu sahaja, lapan wartawan - tujuh dari Malaysia, seorang dari Indonesia - pun turut berasa teruja dengan peluang keemasan ditawarkan syarikat kerepek kentang itu.

Carrington Training Ground, pusat latihan Man U pagi 10 Mac lalu menjadi saksi bagaimana mimpi oleh berjuta peminat skuad bintang itu digapai oleh mereka, yang hanya meraih tuah dengan makan kerepek kentang dan menyertai peraduan.

"Saya sendiri yang sudah berpuluh tahun sokong Man U, dan pernah pergi sampai ke Moscow untuk tonton mereka bermain final Liga UEFA dengan Chelsea pada 2008, pun tidak pernah bermimpi akan dapat temui pemain seperti ini," kata aktivis kelab penyokong Man U di Petaling Jaya, James Kwan.

"Bagi saya, ini satu peluang yang sangat berharga, dan mungkin hanya sekali seumur hidup," katanya.

Perasaan gembira dan bangga Kwan turut dikongsi seorang lagi peminat tegar Man U, Steven Toh dari Kuala Selangor.

"Ini kali kedua saya ke Old Trafford, tapi kunjungan sebelum ini setakat dapat tonton mereka bermain saja. Peluang dapat berjumpa pemain di Carrington cukup bermakna bagi saya yang sudah lama meminati Man U," katanya.

Bagi pegawai tentera dari Kem Lok Kawi, Sabah, Shazrul Aswad, dia tidak kisah isi berpuluh-puluh balang kerepek kentang yang dibelinya masih tidak berusik.

"Saya pun tak mampu nak makan kesemuanya, tapi saya beli juga. Yang saya tahu, saya nak masuk peraduan, dan saya nak menang. Ya, saya memang sangat minati Man U. Kesemua pemainnya saya suka dan saya teringin sangat mahu jumpa mereka.

"Ini bukan soal wang kerana jika kita ada wang yang banyak sekalipun, belum tentu kita dapat berjumpa dan bersalam dengan pemain pujaan kita. Peluang yang diberi oleh Mister Potato sememangnya saya tak mampu nak lepaskan. Sebab itu, apabila saya masuk peraduan ini, saya hanya mahu menang," kata anak muda itu.

Tidak kurang menarik kisah penyelia kafe siber dari Teluk Pulai, Klang, Mohd Faisal Ariff Abdul Aziz yang hanya mampu mencapai telefon bimbitnya untuk dihulurkan kepada Nani dalam pertemuan di Carrington.

"Mujur telefon bimbit saya ini lebar, macam badan saya juga, ada tempat untuk Nani turunkan tanda tangan. Memang penganjur ada beritahu mengenai peluang untuk jumpa pemain Man U tapi saya sendiri ragu-ragu. Semua orang tahu, mereka pemain ternama dunia dan ketika melawat Old Trafford semalam, kita sedar undang-undang di sana ketat.

"Jadi, apabila diberitahu pemenang semua akan dibawa jumpa pemain, saya sangka hanya akan dapat tengok mereka dari jauh. Lagi pun mereka sedang berlatih untuk perlawanan esok (dengan West Brom), sudah tentu tak mudah untuk jumpa mereka."
Atas sebab itulah, kata Mohd Faisal dia tidak bersedia dengan buku autograf.

"Apabila Nani sudah tiba-tiba ada di depan saya, hanya telefon inilah yang mampu saya hulurkan kepadanya untuk dia tanda tangan," katanya, kemudian memberitahu nilai telefon bimbitnya itu sudah meningkat 10 kali ganda berbanding harga asal.

"Apa yang saya tak pernah mimpikan, tiba-tiba jadi kenyataan," hanya itu mampu diungkapkan Halimi Hassan ketika ditanya mengenai perasaannya dapat bertemu secara dekat dengan Ryan Giggs, bintang 'antik' Man U yang sudah dipujanya sejak sekian lama.

Satu lagi, kata Halimi, peluang menonton secara langsung perlawanan Man U - West Brom di Old Trafford pada petang 11 Mac.

"Selama ini tengok di kedai mamak saja, sangat berbeza," katanya.

Zatul Izzati Mohamed Tahrim pula asalnya bukan peminat Man U.

"Tapi saya mengaku, saya sangat suka makan Mister Potato," katanya.

Dan sudah jadi rezeki Zatul Izzati, walaupun hanya suka-suka menghantar penyertaan, namanya 'naik' dalam senarai pemenang.

"Sejak sampai di sini, saya sedar saya adalah peminat Man U, dan tentunya juga peminat tegar Mister Potato," kata gadis dari Sungai Udang, Klang itu.

Bagi Nor Husna Md Adnan dari Kuantan, hawa dingin serendah lima darjah selsius yang melanda Great Manchester bukan asing baginya.

Ini kerana, sebelum kembali ke tanah air November tahun lalu, Nor Husna bermastautin di Dublin, Ireland sebagai penuntut pengajian perniagaan.

"Tapi pengalaman di Manchester ini sangat istimewa," katanya.

Selain bertemu pemain, sepanjang lima hari berada di Great Manchester kumpulan pemakan kerepek bertuah itu diberi peluang melalui banyak pengalaman istimewa lain. Antaranya 'menggeledah' Old Trafford, makan tengah hari di Red Cafe dan esoknya di Suite Lounge yang khusus untuk penonton kenamaan, lawatan ke muzium Man U dan The Cliff Training Ground di mana bakat bintang kelab itu dilentur ketika remaja, termasuk David Beckham.

Peserta rombongan juga diberi kesempatan untuk membeli-belah produk eksklusif Man U di Old Trafford Megastore.

Selain itu, tidak kurang menarik ialah peluang menikmati makan malam di Rosso Restaurant milik Rio Ferdinand, di mana sesiapa yang melaung nama 'Rio' dengan penuh semangat, diberi cenderamata berupa sekeping gambar bertanda tangan pemain berkenaan.

sumber : sinarharian

No comments: