Partime Job

Tuesday 27 March 2012

Maik digesa segera lantik imam


KAMPUNG KEBAKAT – Jemaah Masjid Kebakat menggesa Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) melantik segera imam baru bagi menggantikan tugas Imam Tua, Mohammad Bustaman@Awang, 43, yang ditamatkan perkhidmatannya empat bulan lalu.

Berikutan ketiadaan imam di masjid ini, setiap kali solat Jumaat diimamkan Khatib undangan manakala imam untuk solat lima waktu oleh imam sukarela, Mohd Syukri Ab Ghani.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Kebakat, Omar Din Bon berkata, ketiadaan imam di masjid memberi impak besar kepada jemaah dan penduduk di sini termasuk urusan akad nikah, tahlil mahupun urusan pengebumian jenazah.

“Banyak urusan yang memerlukan khidmat imam berdepan dengan kesulitan, selain imam tua ditamatkan perkhidmatan oleh Maik, Imam Muda Che Soh pula meletak jawatan.

“Setiap kali solat lima waktu berjemaah di masjid ini, kami diimamkan Mohd Syukri,” katanya.

Menurutnya, memandangkan Mohd Syukri banyak mengambil alih tugas sebagai Imam, dia layak untuk mengisi kekosongan jawatan imam tua di masjid ini.

“Kami jemaah di masjid ini berharap Maik mempertimbangkan usul ini kerana selagi tiada imam di sini, penduduk di sini menghadapi kesukaran terutama berkaitan dengan urusan fardu kifayah,” katanya kepada Sinar Harian.

Omar Din berkata, kekosongan jawatan Imam selama empat bulan itu satu jangka masa yang lama dan ia perlu diselesaikan segera oleh Maik.

sumber : sinarharian

No comments: