Partime Job

Tuesday 6 March 2012

Lidah Russia suka rendang ayam Melayu

PUTRAJAYA: “Saya sangat menggemari masakan Melayu terutama rendang ayam kerana rasanya yang sedap dan tidak ditemui di tempat lain,” kata seorang pelajar Universiti Pengajian Timur Moscow, Polina Matveycheva, 20.

Dia yang terpilih sebagai pemidato pada Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2012, berhasrat mempelajari selok-belok masakan Melayu kerana mahu menghidangkannya kepada ahli keluarga di Russia.


“Memang saya mahu mempelajari masakan Melayu kerana saya mahu berkongsi keenakannya bersama rakan dan keluarga di negara saya.

“Tetapi satu masalah ialah kesukaran mendapatkan ramuan masakan masyarakat Melayu di Russia,” katanya ketika ditemui pada pertandingan itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam. Sementara itu, seorang lagi peserta PABM, Marina Makarova, 20, menyifatkan bahasa Melayu sukar, namun tidak mematahkan semangatnya.


“Pada saya, bahasa ini sukar terutama untuk memahami perkataan ilmiah di dalam buku, majalah dan artikel berkaitan sejarah dan politik. “Saya tekun mempelajarinya kerana saya sangat suka kepada bahasa dan budaya timur. Kini, selepas empat tahun mempelajarinya saya mampu berbahasa Melayu dengan fasih,” katanya yang sudah tiga kali berkunjung ke Malaysia.


“Saya berazam datang lagi ke Malaysia kerana saya sangat suka cuaca di sini. Tidak seperti di Russia, cuaca di sini membolehkan kita keluar dan bersiar-siar sepanjang masa,” katanya.

Peserta dari Azerbaijan, Namin Hasanova, 20, berkata dia memilih mempelajari bahasa Melayu kerana tertarik kepada adat dan budaya di Malaysia.


“Sepanjang mempelajari bahasa Melayu, saya banyak menghabiskan masa untuk mengikuti meneliti bahan bacaan berkaitan sejarah serta adat dan budaya masyarakat negara ini,” katanya.

Sumber : MyMetro

No comments: