Partime Job

There was an error in this gadget

Wednesday, 21 March 2012

Larangan nelayan lesen B


LUMUT - Nelayan berlesen B diingatkan supaya tidak menangkap ikan di pinggir laut terutamanya mereka yang menggunakan pukat tunda atau pukat buaya.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Johari Baharum berkata, larangan itu bertujuan memastikan pendapatan nelayan setempat tidak terjejas selain memelihara ekosistem pinggir laut.

Menurutnya, jika nelayan lesen B tidak mengendahkan peraturan itu, tindakan akan diambil termasuk menahan kapal-kapal nelayan selama tiga bulan.

“Nelayan lesen B ini boleh menjejaskan pendapatan nelayan setempat kerana pukat tunda atau pukat buaya yang digunakan akan memerangkap semua jenis ikan termasuk anak-anak ikan. Secara tak langsung, ekosistem pinggir laut boleh musnah dan hidupan ini akan terjejas atau pupus,” katanya ketika pertemuan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, di sini.

Dalam perkembangan sama, Johari menyarankan kapten kapal mengambil kelas-kelas tertentu untuk melengkapkan diri mereka tentang kemahiran di laut.

“Mereka dikehendaki mengambil kelas berkaitan dengan keselamatan semasa bekerja di laut dan kita mahu mereka memupuk sifat-sifat sayang kepada hidupan laut. Sifat sayang ini secara tidak langsung akan membantu mereka untuk tidak memusnahkan hidupan kawasan pinggir laut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kemalangan juga sering berlaku di laut akibat kecuaian dan sikap ambil mudah sesetengah pihak terhadap perkara itu.

“Apa yang kita kenal pasti, kemalangan di laut ini berlaku kerana tidak ada jaket keselamatan atau jaket keselamatan tidak mencukupi untuk anak-anak kapal dan penumpang. Kita tidak mahu perkara ini berulang lagi dan melalui kelas yang kita adakan, diharap ia dapat memberikan informasi atau maklumat berkenaan keselamatan,” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan membincangkan berkenaan syarat-syarat bagi pukat tunda atau pukat buaya yang digunakan nelayan supaya tidak memusnahkan alam semula jadi.

sumber : sinarharian

No comments: