ARAU: Tiga suspek bersaudara warga Thailand dikesan menyembunyikan daun ketum dalam alat pembesar suara dalam kenderaan masing-masing bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Selain itu, mereka turut mengisi segala ruang tersembunyi pada tiga kenderaan mereka dengan daun berkenaan.
Difahamkan, tiga suspek berusia antara 19 dan 29 tahun itu sanggup menghabiskan masa semalaman menyusun ikatan daun ketum berkenaan di celah keempat-empat pintu kereta mereka termasuk dua ruang belakang pikap mereka.
Dalam kejadian jam 9 pagi semalam itu, peronda polis yang sedang meronda di kawasan Jalan Mentalon-Arau, di sini, terserempak dengan tiga kenderaan terdiri daripada dua pikap dan sebuah kereta di sebuah rumah di Behor Mentalon, di sini.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Arau, Asisten Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, pihaknya yang dimaklumkan perkara berkenaan menahan suspek sebelum merampas kenderaan mereka. Katanya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui ratusan gumpalan daun ketum diikat dan disembunyikan di ruang simpanan khas termasuk di dalam ruang pintu kenderaan.
Menurutnya, suspek bertindak licik dengan menyembunyikan ikatan daum ketum seberat 125 kilogram (kg) itu di dalam ruang pintu kereta termasuk di dalam kotak pembesar suara.
“Seorang suspek menyembunyikannya dengan cara menyusun rapi daun ketum berkenaan di bahagian tepi belakang pikap mereka selepas mengumpil ruang itu dan ditutup penutup plastik asal kenderaan.
“Malah, seorang daripada mereka menyembunyikan daun itu di dalam kotak pembesar suara di dalam bonet kereta sebelum ditutup dengan kusyen,” katanya.
Menurut Zulkiflee, daun ketum mendapat permintaan tinggi di Thailand selepas harga bagi sekilogram daun berkenaan boleh mencecah sehingga RM38 sekilogram.
Selain itu, menurut Zulkiflee, daun berkenaan dipercayai cuba dibawa masuk ke Thailand melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah dan mereka menukar taktik menggunakan pemandu serta kereta dari negara jiran bagi mengaburi pihak berkuasa.
Menurutnya, dua suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas mengambil pil kuda dan kesemua mereka direman selama empat hari bermula hari ini.
Sumber : MyMetro

No comments:
Post a Comment