Partime Job

Monday 26 March 2012

Kaum India tidak diabai: Nor Mohamed

TASEK GELUGOR - Kaum India di daerah ini digesa tidak termakan dakyah yang sengaja dilemparkan oleh pihak tertentu yang mengatakan kebajikan mereka diabaikan dan kurang diberi perhatian dalam pelbagai segi.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, anggota masyarakat kaum terbabit turut mendapat layanan sama rata termasuk dalam penyediaan prasarana dan pembiayaan program pembangunan dan menaik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK).

“Sejak tiga tahun lala, kerajaan memperuntukkan lebih RM440 juta ke arah mencapai tujuan itu sebagai tanda prihatin.

“Peruntukan yang disediakan itu sekali gus berjaya menaikkan tahap pendidikan anak-anak kaum India hingga membuatkan mereka berpeluang mendapatkan pendidikan pada semua peringkat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata demikian ketika hadir merasmikan majlis Program Penggayaan Pendidikan Pra-Sekolah Tamil di Dewan Besar Sungai Dua di sini, semalam.

“Seramai 400 pelajar India di negara ini sudah menerima biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Yayasan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) supaya dapat membantu mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Manakala 1,000 tempat disediakan untuk pelajar yang berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 bagi mengikuti kelas pengajian jurusan matrikulasi,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamad, Pengarah Malaysian Community & Education Foundation (MCEF), Tan Sri C Rajandram, murid tadika beberapa pusat sekitar daerah dan waris mereka.

Nor Mohamed turut menambah, peruntukan sebanyak RM23.6 juta juga disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi melaksanakan pelbagai program kemahiran membabitkan penyertaan belia India ke arah meningkatkan taraf hidup keluarga mereka.

“Diharap penglibatan mereka di institusi latihan ini akan dapat mengurangkan kadar kemiskinan, selain menjana pendapatan melalui perolehan kemahiran yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: