Partime Job

There was an error in this gadget

Tuesday, 20 March 2012

Kantoi susu curi disorok dalam kain terjatuh

KAMPUNG RAJA - Seorang penganggur dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana mencuri dua tin susu tepung bernilai RM140.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat menjatuhkan hukuman tersebut terhadap seorang lelaki berumur 49 tahun selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut.

Lelaki dari Cabang Tiga, Jertih itu didakwa mencuri dua tin susu tepung Isomil Plus dan Anmum bernilai RM70 setiap satu di Pasaraya Shakri Enterprise, Padang Luas, Jertih jam 8.50 malam, 13 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd Arshab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, ketika ditanya Raja Norshuzianna Shakila mengapa tertuduh mencuri susu tersebut, lelaki itu memberitahu dia tiada wang.

Siasatan awal polis sebelum ini mendapati duda tiga anak itu mencuri susu tersebut untuk dijual di Kota Bharu, Kelantan bagi menam-pung hidupnya yang tidak bekerja.

Dia dikatakan juga sudah empat kali menerima hukuman penjara kerana pernah ditangkap dalam jumlah sama kerana mencuri susu di Kuala Lumpur semata-mata mahu mendapatkan wang.

Difahamkan isteri dan tiga anak lelaki itu meninggalkannya ketika dia sedang menjalani hukuman penjara selepas ditangkap mencuri di Kuala Lumpur.

Lelaki itu mencuri susu dengan modus operandi memakai kain pelikat kemudian menyembunyikan susu tersebut di dalam kain lalu membawanya keluar satu demi satu.

Bagaimanapun, kegiatan lelaki itu disedari pekerja pasaraya lalu memberkasnya ketika dia cuba membawa keluar tin susu kedua.

Tembelang lelaki itu pecah apabila tin susu tersebut terjatuh daripada kain pelikatnya ketika diperiksa pekerja terbabit.

sumber : sinarharian

No comments: