Partime Job

Tuesday, 27 March 2012

Hospital pantau budak hidap sindrom hypertrichosis

KOTA BHARU: Sepasukan doktor dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) akan memantau dari semasa ke semasa perkembangan kanak-kanak istimewa, Nurul Afida Batrisya Razi, 4, yang memiliki bulu lebat di bahagian muka dan badan.

Pengarah HRPZ II, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata, walaupun Nurul Afida tidak memerlukan rawatan khusus, namun pihaknya akan memantau perkembangan kanak-kanak berkenaan.


Katanya, Nurul Afida mengalami sindrom hypertrichosis yang menyebabkan pertumbuhan bulu tidak terkawal dan dia dirujuk ke Jabatan Pediatrik HRPZ II, selain masih menunggu keputusan ujian sampel darah yang diambil Julai tahun lalu.

“Walaupun kanak-kanak itu tidak mengalami masalah kesihatan dan tidak memerlukan rawatan khusus, kita akan memantau perkembangannya.


“Kami sedang membuat kajian sampel darah yang diambil dan masih menunggu keputusannya,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Harian Metro semalam melaporkan, walaupun berbeza, Nurul Afida dari Kampung Canggong menjalani kehidupan seperti rakan seusianya, malah bersekolah di prasekolah Taski Al-Yakubiah Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Kampung Nipah, Bachok.


Ibunya, Asliza Omar, 37, berkata, walaupun keadaan anaknya luar biasa dan sering menarik perhatian sesiapa yang melihatnya, dia tidak malu, malah tidak menghalang anaknya itu menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain.


“Ketika dilahirkan, beratnya hanya dua kilogram dan hampir seluruh tubuhnya dipenuhi bulu yang lebat. Bagaimanapun, saya bersyukur dia sihat.

“Kekurangannya buat masa ini, hanya lambat bercakap,” katanya. Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Md Noor Chik berkata, pihaknya akan menghantar pegawai melawat kanak-kanak berkenaan sebelum memutuskan sebarang tindakan lanjut.


Katanya, pihaknya juga bersedia memberi sokongan moral kepada keluarga kanak-kanak berkenaan supaya lebih bersemangat menjalani kehidupan harian.


sumber : mymetro

No comments: