Partime Job

Monday 19 March 2012

Hanya bergantung pencen


SRI AMAN - Penyakit angin ahmar yang dihidapi seorang bekas tentera, Mohd Asri Mohd Arif, 42, semenjak enam bulan lalu menghalangnya daripada bekerja.

Dia yang mempunyai tiga orang anak berumur 18 hingga 10 tahun itu, kini hanya mengharapkan pencen yang tidak seberapa untuk meneruskan hidup.

“Jika sebelum ini saya bekerja sendiri dengan melakukan apa sahaja pekerjaan asalkan mendapat upah, tetapi semenjak diserang angin ahmar pada anggota badan sebelah kiri, saya hanya mampu duduk di rumah sahaja.

“Sekarang ini isteri terpaksa mengurus keperluan saya berikutan tidak mampu bergerak,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di sini, semasa lawatan yang diadakan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) semalam.

Hadir semasa pada lawatan tersebut Naib Yang Dipertua PBTM Kelantan, Ibrahim Konok dan PBTM Cawangan Selising.

Mohd Asri berkata, semenjak dia tidak dapat bekerja mereka sekeluarga terpaksa berjimat.

Dia berkata, bukan isterinya tidak mahu bekerja, tetapi dia perlu menguruskan Mohd Asri dan anak-anak yang masih kecil.

“Bagaimanapun saya berterima kasih kepada PBTM kerana sudi datang bertanya khabar dan menghulurkan bantuan.

“Sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan bebanan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata, pihaknya berharap ada pihak lain yang melibatkan tentera tampil membantu bekas tentera yang memerlukan bantuan.

Beliau berkata, jangan mengharapkan PBTM sepenuhnya untuk membantu mereka, kerana banyak lagi pihak yang sepatutnya tampil tetapi tidak berbuat demikian.

sumber : sinarharian

No comments: