KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menjangkakan gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Lembah Klang ekoran kerja-kerja penyenggaraan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 pulih sepenuhnya jam 8 malam ini.
Pengarah Eksekutif Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS, Abdul Halem Mat Som, berkata kesemua pam di LRA telah mula beroperasi dan bekalan air mula disalurkan ke kolam-kolam utama sejak jam 8 malam tadi.
"Pagi tadi semua kolam utama SYABAS telah mula stabil dan kebanyakan kawasan yang terlibat telah mula menerima bekalan air seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan.
Namun, beberapa kawasan sekitar Klang seperti Kampung Delik, Sungai Udang, Kampung Sungai Bertik, Jalan Yadi dan Kampung Idaman masih belum pulih.
Sejumlah 153 kawasan di Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air berjadual berikutan kerja-kerja penyenggaraan loji tersebut bermula pagi semalam.
Abdul Halem berkata, mereka yang memerlukan bantuan bekalan air menerusi lori tangki boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol, 1-800-88-5252. - BERNAMA

No comments:
Post a Comment