Partime Job

Wednesday 21 March 2012

Dua Orang Asli maut kereta langgar pokok di Jalan Temerloh-Bahau

BERA: Dua orang terbunuh manakala lima cedera apabila kereta yang dinaiki tujuh sekeluarga Orang Asli itu terbabas dan melanggar sebatang pokok di Kilometer 34 Jalan Temerloh–Bahau, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mohd Zahid Mohd Noor, berkata kemalangan jam 5 pagi itu berlaku ketika keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Bahau ke Paloh Hinai di Pekan.

Menurutnya, mangsa yang maut dikenali sebagai Saadan Pendek, 36, iaitu penumpang hadapan dan Subia Lidin, 12, penumpang belakang kedua-duanya berasal dari Kampung Orang Asli Runchang, Pekan.

Pemandu kereta, Kassim Law, 20, cedera parah di bahagian kaki, muka dan badan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.

Mereka yang cedera adalah Rosnani Lidin, 15, Adila Adi, 16, Rosnita Lidin, 13, dan Kitie Mail, juga 13. Mereka turut dirawat di hospital yang sama.

Mohd Zahid berkata, kereta yang dinaiki keluarga itu dipercayai dipandu laju sehingga terbabas ke kanan jalan lalu melanggar sebatang pokok.

"Dua penumpang berkenaan mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan," katanya. - BERNAMA

No comments: