Partime Job

Thursday 22 March 2012

Doktor: 'Muamba tidak bernyawa selama 78 minit'


PEMAIN tengah Bolton, Fabrice Muamba 'tidak bernyawa' selama 78 minit selepas rebah di padang ketika perlawanan menentang Tottenham pada Sabtu lalu, dedah doktor kelab Bolton, Jonathan Tobin semalam.

Sehubungan itu katanya, terlalu awal untuk mengandaikan bahawa Muamba akan terus bermain.

Bagaimanapun Dr Tobin berkata, beliau sangat kagum dengan tahap pemulihan yang dipamerkan oleh pemain berusia 23 tahun itu.

Dalam temu bual emosional disiarkan oleh BBC, Dr Tobin berkata:

"Kami telah menjangkakan keadaan sangat buruk dan tidak menjangkakan bahawa kami akan melihat (dia) pulih sebagaimana kita lihat sekarang. Ia sungguh menakjubkan."

Laporan lewat kelmarin menyebut Muamba sudah melepasi keadaan kritikal tetapi masih serius.

Muamba berhadapan dengan serangan jantung ketika perlawanan suku akhir menentang Tottenham di White Hart Lane, Sabtu lalu.

Dr Tobin memberitahu BBC Sport bahawa fisioterapis Bolton, Andy Mitchell adalah orang yang pertama menyedari insiden Muamba rebah di padang.

Kata Dr Tobin: "Dia menjerit, agar datang ke kawasan padang. Sangat jelas ada sesuatu yang berlaku."

Jantung pemain itu tidak berdenyut dan dia tidak boleh bernafas selama 78 minit.

"(Dia tidak bernafas) selama 48 minit selepas dia pengsan dan tiba di hospital dan 30 minit lagi.

"Dia, sebenarnya, sudah mati ketika itu," katanya lagi.

Dr Tobin memberitahu, hanya selepas pegawai perubatan di London Chest Hospital mengambil alih, keadaan mula berubah.

Katanya: "Saya pergi ke kawasan koridor dan menangis."

"Ini Fabrice, bukan seseorang yang jatuh di jalan. Saya tahu dia, tahu keluarganya, bergurau dengan dia setiap hari," katanya lagi.

sumber : sinarharian

No comments: