Partime Job

Wednesday, 28 March 2012

Ditelan sungai’

KOTA TINGGI: “Kami menjerit dan melarangnya daripada terus bergerak ke tengah sungai, namun tidak dihiraukan warga emas itu. Kurang dua minit kemudian, dia hilang ditelan arus Sungai Johor,” kata petugas Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Mohd Ashidi Othman, 26, di sini, kelmarin.

Ashidi saksi kejadian seorang warga emas lelaki berusia 60-an berjalan ke tengah Sungai Johor melalui bawah jambatan bandar berkenaan pada jam 3.10 petang.


Menurut Ashidi yang berasal dari Kampung Kelantan, dia sedang menunggang motosikal ke pusat bandar melalui jalan pintas di bawah jambatan berkenaan sebelum ditahan beberapa individu.

“Mereka memaklumkan seorang warga emas berjalan masuk ke dalam sungai dan meminta saya menghulurkan bantuan.


“Di lokasi berkenaan, ada empat lelaki dewasa dan tiga murid sekolah. Warga emas terbabit pula sudah separas pinggang masuk ke dalam sungai,” katanya.


Menurut Ashidi, mereka memujuk lelaki berkenaan supaya naik ke tebing, namun tidak dihiraukan.

Ashidi berkata, dia menghubungi polis memaklumkan kejadian dan ketika itu, warga emas berkenaan mula hilang imbangan badan.


“Lelaki terbabit dihanyutkan air sebelum hilang daripada pandangan kami.

“Kami tidak berani membantu kerana ketika itu air sungai hampir pasang penuh,” katanya.


Polis yang tiba tidak lama kemudian menemui tongkat dipercayai milik warga emas berkenaan di kawasan semak berhampiran tebing sungai itu.


Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Low Hang Seng yang menyelaras operasi mencari dan menyelamat berkata, beliau bersama Ketua Balai Polis Kota Tinggi, Inspektor Mohd Azizi Abd Razak serta anggota lain berusaha mengesan waris mangsa di sekitar kawasan berkenaan, namun hampa.


“Sehingga jam 6 petang semalam, kami belum menerima laporan berkaitan kehilangan ahli keluarga. Identiti mangsa juga belum dikenal pasti,” katanya.

sumber : mymetro

No comments: