KODIANG: Ibu tunggal beranak tiga di Kampung Kubang Chenok, Padang Sera di sini, kini lega apabila tidak perlu lagi tinggal dalam pondok berlantaikan tanah dan minum air hujan berikutan pondok usang didiami Ban Yin a/p Siang, 36, sekeluarga itu kini dalam proses pembinaan semula melalui Projek Kasih Sayang Perdana Menteri.
Ban Yin berkata, rumah yang dibina semula atas tapak pondok lama itu siap dalam seminggu termasuk menerima bekalan elektrik dan air.
“Saya sangat terharu kerana kesusahan hidup kami empat beranak mendapat perhatian banyak pihak termasuk Harian Metro (HM) yang memberikan sumbangan sebelum ini.
“Buat sementara waktu ini, dengan ihsan penduduk kampung, saya dan anak-anak menumpang tidur di bengkel lama tidak jauh dari sini sehingga rumah baru kami siap,” katanya.
Hadir sama, Ahli Dewan Negara, Senator Boon Soom Inong dan Pegawai Penerangan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) negeri, Po Chew a/l Din Chor.
Ban Yin berkata, dia akan mencari pekerjaan bagi menyara keluarganya tanpa perlu bergantung kepada orang ramai termasuk jiran dan saudara-mara.
Menurutnya, sejak ditinggalkan suami yang dipercayai pulang ke negara asal, Thailand, dia mengharapkan ihsan orang ramai menghulurkan makanan dan keperluan harian.
Penderitaan wanita itu mendapat perhatian HM menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya iaitu Titipan Kasih yang menyumbang pelbagai barangan keperluan harian dan peralatan sekolah anaknya.
Kini, melalui Projek Kasih Sayang Perdana Menteri, ibu tunggal itu mendapat rumah baru yang dibina di atas tapak pondok lamanya.
Pengarah projek, Datuk Adzmi Din berkata, kos pembinaan semula rumah itu ialah RM8,000 dan apabila siap, wanita berkenaan dan tiga anaknya boleh menikmati kehidupan lebih selesa kerana kediamannya turut dilengkapi bekalan elektrik dan juga air.
“Ibu tunggal ini terpilih berikutan keadaan rumahnya sangat daif dan mereka bermasalah mendapatkan makanan hingga terpaksa menagih ihsan orang ramai.
“Selepas ini, kami akan terus memantau perkembangan keadaan mereka dari semasa ke semasa. “Keluarga ini juga menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300,” katanya.
Katanya, melalui projek itu juga, semua golongan miskin berkelayakan berpeluang merasainya tanpa perbezaan latar belakang atau fahaman politik.
sumber : mymetro
No comments:
Post a Comment