Partime Job

Tuesday 27 March 2012

‘Pok Keli’ dihantar rawatan psikiatri

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Majistret, di sini, semalam mengarahkan seorang lelaki dikenali sebagai Pok Keli yang berdepan dua tuduhan mencederakan kakak dan anak saudaranya serta melakukan khianat dengan merosakkan cermin rumah anak saudaranya dihantar ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru untuk rawatan psikiatri selama sebulan.

Majistret Noradila Ab Latif membuat keputusan berkenaan terhadap Zulkefli Salleh, 48, dari Kampung Kubang Ikan, Chendering, di sini., yang berdepan dua tuduhan mengikut Seksyen 323, Kanun Keseksaan (KK) kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 427, kanun sama kerana melakukan perbuatan khianat.


Tertuduh yang belum berkahwin mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Zulkefli didakwa mencederakan Mohamad Azli Abdul Ghani, 15, dan Noor Pisah Salleh, 56, di Kampung Kubang Ikan, Chendering, di sini, pada jam 5.10 petang, 19 Mac lalu.


Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 323, Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. Zulkefli turut didakwa sengaja melakukan khianat ke atas Mohamad Suraimi Abdul Ghani, 29, pada alamat, tarikh dan waktu sama.


Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 427, Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.


Noradila menetapkan 26 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan kesihatan tertuduh.


Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala Zulkefli tidak diwakili peguam.


sumber : mymetro

No comments: