SUNGAI SIPUT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati dalam keadaan menyayat hati apabila ditemui rentung di atas katil selepas rumahnya di Kampung Sentosa, di sini, terbakar malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin, K Keshwini, gagal diselamatkan datuk dan ibu saudaranya yang ketika kejadian turut berada di dalam rumah teres setingkat itu. Ketika kebakaran, datuk dan ibu saudara mangsa yang tidur di ruang tamu rumah dikatakan melarikan diri tanpa menyedari mangsa turut tidur di dalam bilik.
Datuk mangsa dikenali sebagai Doraisamy, 75, berkata, dia tersedar daripada tidur selepas melihat kepulan asap tebal memenuhi ruang rumah sebelum bergegas keluar bersama anak perempuannya, D Valarmathi, 46.
“Saya panik apabila terhidu bau hangit sebelum bergegas melarikan diri tanpa menyedari cucu saya masih di dalam rumah.
“Saya cuba masuk semula bagi menyelamatkan cucu, tapi dihalang beberapa jiran kerana api marak dengan cepat,” katanya.
Doraisamy berkata, anaknya, D Suguneswary, 29, dan menantunya, N Kunasegaran, 39, menghantar Keshwini ke rumahnya kira-kira jam 9 malam kelmarin untuk dijaga.
Menurutnya, pasangan itu sering menghantar Keshwini ke rumahnya memandangkan mereka terpaksa keluar bekerja sebagai pemandu lori ikan.
Sementara itu, jiran mangsa, A Vishveaswaraa, 22, berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarga sedang menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan bunyi cermin pecah dari rumah mangsa.
Katanya, ketika itu, dua mangsa itu sudah berada di luar rumah sambil menjerit meminta tolong bagi menyelamatkan kanak-kanak perempuan yang masih terperangkap di dalam api.
“Saya bersama beberapa jiran cuba membantu memadamkan kebakaran dengan menyimbah air ke dalam ruang tamu rumah, namun gagal kerana api marak dengan cepat,” katanya.
Sementara itu, ibu dan bapa Keshwini enggan ditemu bual kerana masih bersedih dengan kematian anak mereka.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui rentung dalam sebuah bilik di rumah itu dalam keadaan kepala terjuntai di birai katil kira-kira jam 10.40 malam.
“Mangsa dipercayai terperangkap di dalam bilik kerana api marak begitu cepat. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk dibedah siasat,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput, Penolong Penguasa Roszaman Wok berkata, kebakaran bermula jam 10.10 malam itu dapat dikawal sepenuh kira-kira 13 minit kemudian dari merebak ke rumah berhampiran.
Menurutnya, kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas, namun siasatan menyeluruh masih dilakukan.
Sumber : Mymetro
No comments:
Post a Comment