Partime Job

Tuesday 6 March 2012

‘Brek rosak...brek rosak!’


KUALA LUMPUR: “Brek rosak...brek rosak.” Itu antara jeritan seseorang kepada 22 penumpang bas persiaran sebelum kenderaan disewa pelancong dari India itu terbabas dan terbalik hingga mengorbankan dua nyawa di Genting Highlands, semalam.

Kemalangan berlaku jam 7.55 pagi di Kilometer 4.5, Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur ketika bas berkenaan dalam perjalanan turun dari pusat peranginan terbabit.


Seorang penumpang, Jaswinder Singh, 35, berkata, selepas terdengar jeritan itu, bas yang mereka naiki bergoyang dengan kuat dan tidak stabil.

“Ketika menuruni laluan berbukit, tiba-tiba saya dengar orang menjerit mengatakan brek bas rosak. Dia menjerit dua kali sebelum bas bergoyang dengan kuat.


“Saya berpaut pada tempat duduk kerana bimbang terjatuh sebelum terdengar dentuman kuat dan berasa bas semakin senget sebelum terus terbalik,” katanya di wad kecemasan, Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.


Menurutnya, selepas gagal dikawal, bas berkenaan melanggar tembok penghadang jalan sebelum terbalik di laluan berselekoh.

Dua penumpang yang terbunuh ialah Anita Aggarwal, 59, yang mati di tempat kejadian akibat parah di kepala manakala Rajendra Kumar Agarual, 67, meninggal dunia sejurus tiba di HKL.


Dua puluh penumpang lain cedera termasuk empat parah yang dirawat di Hospital Selayang dan HKL. Dua pemandu bas itu turut cedera. Jaswinder yang cedera di dahi dan patah tangan kanan berkata, selepas bas mereka terbalik, suasana hiruk-pikuk dengan jeritan mangsa sebelum dia dia ditimpa tubuh isteri dan anaknya.

“Saya hanya memikirkan keselamatan isteri dan anak kerana tidak tahu keadaan mereka. Saya dapati darah keluar dari dahi saya yang luka dan tangan kanan pula terasa amat sakit.


“Mujurlah, pasukan penyelamat cepat tiba dan mengeluarkan kami dari bas dan menghantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.


Menurut Jaswinder, dia bercuti ke negara ini bersama isteri, Gurmit Kaur, 35, dan anak lelakinya, Manpreet Singh, dua tahun setengah, selepas tertarik dengan pakej pelancongan yang menawarkan dua lokasi percutian di negara ini dan Singapura.


“Saya membayar RM4,860 untuk pakej tiga orang yang menawarkan percutian ke Genting Highlands dan Singapura selama sembilan hari mulai 29 Februari lalu.


“Ketika kemalangan, kami dalam perjalanan ke Singapura selepas lima malam menginap di pusat peranginan itu sebelum kembali ke India Khamis ini,” katanya yang berasal dari Lucknow, Uttar Pradesh di India.


Jaswinder yang juga peniaga dan mengusahakan kedai menjual buku sekolah, berkata ketika kemalangan dia sedang berbual dengan pelancong lain, manakala isterinya yang duduk di sebelah melayan anak mereka.


Sumber : Mymetro

No comments: