Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Berjalan guna jari kaki


KUALA KRAI - Masalah saraf tegang pada kaki menyebabkan seorang orang kurang upaya (OKU) dari Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Mengkebang, di sini, terpaksa berjalan menggunakan jari kaki sejak berusia dua tahun.

Bagi mengatasi masalah kaki kanannya itu, OKU terbabit, Muhammad Isyraff Ismail yang kini berumur 19 tahun menjalani pembedahan ketika berusia lima tahun bagi mengendurkan urat saraf pada bahagian tersebut.

Bapa Muhammad Isyraff, Ismail Abas, 49, berkata, pembedahan itu membolehkan tumit kaki anak sulungnya itu rapat ke tanah seperti insan normal lain tetapi pada masa sama, menyebabkan urat pada lututnya pula menjadi kendur.

“Sebelum pembedahan, anak saya terpaksa terus berjalan sebaik sahaja dia berdiri dan tidak boleh berhenti atau pun memperlahankan pergerakannya.

“Selepas pembedahan pula, dia masih boleh berjalan tetapi mudah lenguh dan tidak boleh berdiri lama menyebabkan dia terpaksa guna kerusi roda,” katanya di sini, semalam.

Dia ditemui selepas menerima sumbangan kerusi roda ditempah khas untuk kegunaan Muhammad Isyraff daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman, di sini, semalam.

Hadir sama, Penghulu Mukim Mengkebang, Hussin Taib dan Penghulu Tanpa Mukim Dewan Undangan Negeri (Dun) Mengkebang, juga Ketua Dewan Pemuda Pas Dun itu, Abdul Hashim Jusoh.

Turut menerima sumbangan sama bekas Imam Mukim Jambu, Dun Cempaka, Kota Bharu dan kini menetap di tanah rancangan itu, Wan Chik Wan Omar, 37, yang lumpuh akibat jatuh pokok sejak lebih setahun lalu.

Ismail berkata, keperluan kepada kerusi roda bertambah apabila Muhammad Isyraff melanjutkan pelajaran di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), dekat Bangi, Selangor, Januari lalu.

“Buat masa ini, dia guna kerusi roda yang dipinjam daripada PLPP Bangi untuk teruskan pengajiannya dalam bidang komputer tetapi kami kena tanggung kos baiki kalau rosak.

“Sebab itu, kami sekeluarga amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Abdul Latiff atas sumbangan ini,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak berusia 16 tahun.

Sementara itu, Abdul Latiff berkata, kerusi roda khas berharga kira-kira RM1,500 setiap satu itu disalurkan melalui Tabung OKU di bawah Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa.

“Untuk tahun ini sahaja tidak termasuk sumbangan hari ini, sudah empat kerusi roda kita beri kepada penduduk Dun Mengkebang yang memerlukan iaitu masing-masing satu di Kampung Bukit Sireh dan Mengkebang serta dua di Chenulang,” katanya.

sumber : sinarharian

No comments: