Partime Job

Friday 9 March 2012

Batal SBPA perkasa SSM

PUTRAJAYA: Tepukan gemuruh lebih 15,000 penjawat awam mengiringi pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap pembatalan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengekalkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik.

Keputusan membatalkan SBPA yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Januari lalu itu dibuat selepas kerajaan meneliti cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan keupayaan kewangan kerajaan.


Najib turut mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam berdasarkan Jadual Gaji Matriks (JGM) SSM mengikut peratusan gred, termasuk pelarasan gaji sebanyak 13 peratus bagi kumpulan pengurusan dan profesional serta pelaksana bagi gred satu hingga 54.

Menurutnya, penjawat awam pada gred utama dan khas serta C, B dan A pula menerima pelarasan gaji sebanyak sembilan peratus, manakala lapan peratus untuk Turus III dan II serta tujuh peratus untuk Turus I dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).


“Struktur gaji SSM juga akan diubah suai daripada JGM kepada Jadual Gaji Minimum-Maksimum dengan kadar Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi gred 1 hingga 54 ditetapkan antara RM80 hingga RM320 mengikut gred.


“Kadar kenaikan gaji tahunan bagi Jusa dan ke atas pula ditetapkan kekal menggunakan KGT SSM dengan diberikan pelarasan mengikut peratusan yang ditetapkan.

“Kerajaan juga bersetuju meningkatkan kadar Bantuan Sara Hidup (Cola) bagi kawasan B dari RM200 sebulan kepada RM250 sebulan, manakala kawasan C dinaikkan dari RM100 kepada RM150 sebulan,” katanya ketika mengumumkan perkara itu pada Perhimpunan Khas Penjawat Awam bersama Perdana Menteri, di sini, semalam.


Hadir sama, KSN, Tan Sri Mohd Sidek Hasan dan Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman.

Najib berkata, satu suruhanjaya dianggotai semua pihak berkepentingan yang bekerja melalui prinsip musyawarah, perundingan dan pemuafakatan juga akan ditubuhkan.


Katanya, suruhanjaya itu bagi mengkaji perkhidmatan awam secara komprehensif dan holistik yang bukan saja membabitkan sistem saraan, tetapi rupa bentuk perkhidmatan awam diperlukan negara masa depan.


Selain itu, beliau berkata, kerajaan bersetuju mengekalkan bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK), bayaran insentif wilayah (BIW), bayaran insentif pedalaman (BIP) dan bayaran insentif subjek pendidikan (BISP) mengikut peraturan sedia ada bawah SSM.


Bagi guru pula katanya, kerajaan akan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip ‘time based’ pegawai perkhidmatan pendidikan seperti yang diumumkan dalam Bajet 2012.

sumber : mymetro

No comments: