Partime Job

Friday 9 March 2012

OKU ‘diacah’ lemas terjun sungai

KANGAR: Akibat terkejut dengan gurauan rakannya menyatakan tempat mereka melepak di pelantar ikan di Kampung Tandiap, dekat sini, diserbu polis, seorang lelaki kelainan upaya (OKU), dikhuatiri lemas apabila bertindak terjun ke dalam Sungai Perlis berhampiran muara Kuala Perlis, dekat sini, petang kelmarin.

Sehingga lewat petang semalam, pasukan penyelamat gagal menemui mangsa dikenali Mat Yusuf Mohamad, 32 dari Bukit Tok Po, Kuala Perlis dan mangsa dipercayai hanyut ke laut.


Bagaimanapun, dua lagi rakan mangsa yang turut terjun ke sungai berkenaan berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing dalam kejadian jam 5.10 petang itu.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, pihaknya sedang menyiasat motif sebenar pemuda berkenaan terjun ke sungai bersama dua lagi rakannya semasa berehat di pelantar ikan itu.


“Dakwaan menyatakan Mat Yusof terjun ke sungai selepas dikejar sepasukan anggota polis bahagian narkotik adalah tidak benar.


“Mungkin ada rakan mangsa membuat gempar menyatakan pasukan narkotik sedang menyerbu tempat itu hingga menyebabkan mangsa hilang punca sebelum bertindak demikian,” katanya, di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata demikian ketika meninjau operasi mencari dan menyelamat mangsa membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia di sini, semalam.


Operasi dihentikan lewat petang kelmarin berikutan hujan dan arus deras, disambung semula pagi semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis sememangnya ada membuat operasi di sekitar Kuala Perlis yang terletak dua kilometer dari lokasi kejadian, tetapi operasi itu tamat setengah jam lebih awal.

sumber : mymetro

No comments: