Partime Job

Tuesday 20 March 2012

Bandar raya Ipoh bakal mempunyai dua ibu pejabat polis daerah

IPOH - Bandar raya Ipoh bakal mempunyai dua ibu pejabat polis daerah yang akan dikenali sebagai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh Barat dan Ipoh Timur, sekiranya permohonan untuk tujuan itu diluluskan.

IPD yang baru akan dikenali sebagai IPD Ipoh Timur manakala IPD Ipoh sekarang ini dikenali sebagai IPD Ipoh Barat.

Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahlan berkata permohonan untuk mewujudkan sebuah lagi IPD di bandar raya ini adalah bagi memberi perkhidmatan yang cepat dan berkesan selain menjadikan Ipoh sebagai bandar raya selamat.

Beliau berkata pada masa ini IPD Ipoh menguruskan 24 buah balai menyebabkan tugas yang dilakukan oleh Ketua Polis Daerah Ipoh agak berat.

"Surat permohonan untuk mewujudkan IPD yang baru itu telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman awal tahun lepas dan keputusan akan diumum Ahad ini pada majlis sambutan Peringatan Hari Polis Ke 205 di sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan ketua polis Perak di sini, hari ini.

Shukri berkata dengan wujudnya dua IPD, kesemua 24 balai yang kini di bawah IPD Ipoh itu boleh dibahagi kepada dua bahagian untuk ditadbir. - Bernama

No comments: