Partime Job

Wednesday, 14 March 2012

Azab tersepit 20 minit

SEREMBAN: Seorang lelaki terpaksa menanggung azab menahan kesakitan selama hampir 20 minit akibat kakinya tersepit dalam lori simen dipandunya yang terbabit kemalangan di Jalan Seremban-Labu berhampiran Makam Tok Botok di sini, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa, Mohd Firdaus Hakim Musa, 28, cedera teruk kaki kirinya selepas lori berkenaan terbalik ke dalam longkang.


Jurucakap polis berkata, siasatan pihaknya mendapati mangsa yang memandu bersendirian dalam perjalanan dari arah Nilai menuju ke daerah ini.

“Sejurus tiba di sebuah selekoh di lokasi itu, mangsa dipercayai tidak dapat mengawal stereng lalu menyebabkan lori berkenaan terbalik ke sebelah kanan.


“Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit hampir 20 minit sebelum pasukan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sampai untuk mengeluarkannya,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, ketika kejadian keadaan cuaca baik dan permukaan jalan kering, namun laluan itu dikenal pasti antara kawasan kerap berlaku kemalangan.

Kata jurucakap itu, mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk menerima rawatan.


“Mangsa masih dirawat dan kami akan menemuinya dalam tempoh terdekat bagi mengambil keterangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

sumber : mymetro

No comments: